KUALA LUMPUR: Jika tiada aral melintang, usahawan dan selebriti masyhur, Noor Neelofa Mohd Noor akan disatukan sebagai isteri kepada pendakwah Haris Ismail atau lebih dikenali sebagai PU Riz pada Sabtu ini.

Pasangan berkenaan akan melangsungkan majlis akad nikah dalam sebuah acara tertutup di sebuah hotel lima bintang di sekitar lingkaran Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Menurut sumber, majlis pernikahan Neelofa, 32, dan PU Riz, 26, hanya akan dihadiri oleh kaum keluarga terdekat dan sahabat karib.

Bahkan, acara berkenaan juga akan berlangsung dalam suasana norma baharu dan menepati prosedur operasi standard (SOP).

“Insya-Allah majlis akan diadakan di sebuah hotel lima bintang sekitar KLCC. Segala persiapan sedang diadakan,” kata sumber tersebut kepada Astro AWANI ketika dihubungi pada Selasa.



Hiburan: Sah Neelofa dirisik PU Riz

BACA: Sah Neelofa dirisik PU Riz

BACA: Hubungan Neelofa, PU Riz baik, bakal umum tarikh kahwin

BACA: Teka-teki Neelofa, PU Riz berkahwin terjawab minggu ini?

Astro AWANI juga difahamkan Neelofa memilih perunding perkahwinan sama yang mengendalikan majlis pernikahan kakaknya, Noor Nabila minggu lalu.

Bagaimanapun, sehingga kini tiada sebarang penjelasan dikeluarkan oleh pengurusan Neelofa.

Astro AWANI juga ada menghubungi pegawai pengurusan artis jelita itu bagi meminta reaksi, namun, panggilan kami tidak dijawab dan kiriman mesej melalui aplikasi WhatsApp juga tidak dibalas.

Berita pernikahan Neelofa dan PU Riz juga kini semakin rancak dibincangkan di laman media sosial.

Hubungan Neelofa dan PU Riz sentiasa menjadi sorotan media tempatan sejak beberapa bulan lalu kerana mereka juga tidak terlepas melalui pelbagai ujian dan cabaran.

Pada hujung Januari lalu, Neelofa ada memberi bayangan bakal mengumumkan tarikh pernikahan mereka, namun, tiada sebarang pengumuman dibuat.

Sebaliknya, industri hiburan dikejutkan dengan berita pernikahan kakaknya, Noor Nabila dengan Engku
Emran Engku Zainal Abidin pada Jumaat lalu.

Neelofa yang juga pengasas syarikat Naelofar Hijab dan Nilofa Group dan PU Riz - seorang peserta program Pencetus Ummah pada 2016 dan merupakan pendakwah bebas serta pelakon sebelum ini
sering dilihat bekerjasama dalam pelbagai program keagamaan selain aktif dalam kerja-kerja kebajikan.

Mereka juga aktif dalam kerja-kerja kebajikan di bawah Pertubuhan Kasih Neelofa yang diasaskan selebriti wanita yang mempunyai lapan juta pengikut di akaun Instagram itu.