Jari-jemari figura tinggi lampai ini ketika memetik setiap not piano yang berbaris di hadapannya, amat dinanti-nantikan dalam kalangan peminat alunan muzik klasik Eropah.
Bagaikan ada magis dan keistimewaan tersendiri, kemasyhuran pemilik nama Muzaffar Abdullah tatkala beraksi dengan instrumen penuh berprestij ini pastinya akan memukau dan mengagumkan sesiapa sahaja.
Justeru, tidak menghairankanlah apabila aura anak kelahiran Kuantan, Pahang ini semasa mendendangkan irama merdu daripada piano sering kali menjadi pilihan untuk menjayakan pelbagai konsert bertaraf antarabangsa.
Antaranya, Palazzo Gazzoli Terni di Itali, Geneva Madeleine Central Hall (Switzerland), Musici Artis Liege (Belgium) mahupun di Opera City Hall dan Osaka's Philharmonic Hall di Jepun di mana negara matahari terbit ini beliau mempersembahkan muzik karya Sergei Rachmaninoff.
Istimewanya, bakat dan kemahiran pemain piano bertaraf antarabangsa ini tidak hanya begitu dihargai dalam setiap persembahan yang dijayakannya.
Bahkan, permata negara ini diiktiraf di peringkat paling tinggi apabila ditawarkan berkhidmat di antara satu institusi muzik terkemuka, Conservatoire de Noisy-le-Grand di Perancis sebagai tenaga pengajar piano.
MASIH DI HATI
Keputusan beliau menetap di negara yang terkenal dengan menara Eiffel ini telah membantunya mengukuhkan lagi platform dan melebarkan perkembangan sayap bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini di persada dunia.
Jika sebelumnya, beliau asyik berulang-alik menjayakan konsert di Eropah dan Amerika Syarikat, tawaran berkhidmat di Perancis dianggap sebagai peluang berharga yang tidak seharusnya disia-siakannya.
Dan kini, sudah menghampiri satu dekad lamanya Muzaffar menetap dan berkhidmat di sana. Namun, pemuda yang masih kaya dengan kesopanan Melayu ini tidak pernah lupa pulang ke tanah air menabur bakti di negara kelahiran.
Ini, dilakukan dengan tidak lokek berkongsi ilmu kepada anak muda dalam pembelajaran piano. Sesibuk mana sekali pun, beliau pastinya akan mencuri masa menzahirkan rasa cinta dan semangat patriotisme kepada negara melalui pendekatan itu.
Maka, tidak menghairankanlah apabila Muzaffar masih sudi menerima jemputan menjayakan 'Master Class' dengan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Biarpun ketika itu, beliau sedang bercuti selama dua minggu di sini. Tidak berasa terganggu, malah sangat komited untuk berkongsi segala pengalaman dan pengetahuan yang ada dengan anak muda.
"Menetap lama di luar negara, tetapi jiwa saya tetap kepada Malaysia. (Bahkan) Saya dikenali sebagai pemain piano Malaysia dan tidak pernah mengaku rakyat Perancis walaupun sudah tinggal lama di sana," katanya kepada Bernama.
BERTUAH
Muzaffar, memulakan kerjaya sebagai pemain piano bertaraf antabarangsa sebaik menamatkan pengajian di institusi pendidikan muzik terkemuka, Ecole Normal de Musique Alfred Cortot dan European Conservatory of Paris.
Sangat berbakat dan pernah menerima biasiswa daripada kerajaan Perancis dan Japan-ASEAN, pemuda ini boleh dikira sangat bertuah kerana berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada individu yang bukan calang-calang orangnya dalam dunia seni ini.
Antaranya Pierre Sancan, seorang komposer, pemain piano, guru, konduktor terhebat di Perancis pada pertengahan abad kedua puluh. Beliau juga belajar daripada Germaine Mounier dan pemain piano dari Ukraine, Irina Zaritskaya.
Dengan pengalaman yang ada serta ilmu berharga daripada individu-individu hebat ini, Muzaffar tidak mahu mempraktikkannya seorang diri.
Tetapi, mempunyai matlamat besar untuk mencurahkan ilmu kepada mereka yang lain supaya dapat memberi inspirasi kepada anak muda untuk maju dalam karier sebagai pemain piano.
TIDAK LOKEK
Justeru, pengalaman lebih 30 tahun dalam instrumen penuh berprestij ini membuatkan beliau begitu tangkas mengesan mana-mana not muzik yang salah dimainkan.
Tanpa perlu melihat langsung nota muzik, segala alunan daripada petikan piano itu bagaikan sudah amat sebati dengan diri pemuda ini.
Berkarakter sedikit tegas ketika pengajaran, beliau yang agak 'low profile' penampilannya ini ikhlas dan sabar melayan setiap soalan pelajar serta tidak sedikit pun kisah untuk tidak berhenti waktu makan.
Segala tumpuan diberikan, dari sudut kedudukan tangan dan lenggokan gaya badan antara penekanan dititikberatkan oleh beliau, yang juga pengasas 'International Piano Festival' di negara ini.
"Bersiap sedialah dan jangan tunjukkan ia satu kesilapan," katanya kepada seorang pelajar yang secara drastik terus menekan not-not piano di hadapannya.
Aspek penafasan yang betul, kesungguhan dan ketekunan perlu ada dalam diri setiap pemain piano sekiranya ingin berjaya. Mengaitkan itu dengan zaman kecilnya, beliau berkata hari-harinya diisi dengan latihan piano berjam-jam lamanya.
Biarpun pernah dimarahi ibu bapa kerana terlalu asyik bermain piano sehingga tidak menyiapkan kerja sekolah, itu tidak mematahkan semangatnya untuk menjadikan pemain piano sebagai kerjaya.
KENA BETUL-BETUL
"Saya memang sangat meminati piano dan sudah menetapkan matlamat menjadi concert pianist dan course pianist professor. Saya tidak mahu sekadar jadi cikgu piano.
"Ini yang membuatkan saya bersungguh-sungguh bermain piano setiap hari dengan sepenuh hati," katanya yang juga aktif memberi 'master class' di Thailand, Singapura, Jerman dan Belgium.
Bagaimanapun, beliau yang telah merangkul banyak anugerah di Perancis, Itali dan Amerika Syarikat berasa sedikit 'kecewa' dengan sikap sesetengah anak muda yang tidak mempunyai kesungguhan menerokai ilmu.
Tidak hanya berlaku di sini, tetapi juga pelajar piano di Eropah turut tidak terkecuali.
"Semuanya jenis tidak sabar dan main piano hendak cepat sahaja. Ia mengambil masa yang lama untuk menghafal 'pieces'. Dan untuk itu, mereka harus sabar dan rajin buat latihan jika benar mereka cintakan muzik.
"Kebanyakan mereka tidak menghafal 'pieces' dan memainkan piano sambil membaca nota muzik. Sepatutnya bukan macam ini, mereka kena lancar dan ingat semua not muzik," katanya.
Sedangkan, beliau sendiri masih konsisten berlatih piano dan menambah ilmu bagi memantapkan lagi kemahirannya biarpun sudah lama dalam industri ini.
Terutama sekali, apabila memerlukannya membuat persembahan orkestra atau apa-apa sahaja kerana beliau membawa nama dan maruah negara.
NASIHAT
"Walaupun sudah banyak kali membuat persembahan, rasa gementar masih ada. Dan ini adalah cabaran amat besar bagi seseorang pemain piano. Tekanannya tinggi kerana takut terlupa not-not muzik.
"Rasa gugup ini akan sentiasa ada. Tetapi, inilah kelebihan latihan dan disiplin yang tinggi. Saya menghafal segala not sesuatu lagu, muzik itu melalui latihan jari secara perlahan-perlahan. Ini, sangat membantu," katanya.
Selain latihan berterusan, mereka perlu memahami makna di sebalik sesebuah karya muzik itu melalui pembacaan dengan mengenali komposer, sejarah dan budaya di sebaliknya.
Ini, membantu mereka supaya dapat mempersembahkan alunan merdu muzik klasik dengan penuh penghayatan, katanya mengakhiri temubual tengah hari itu.
Bernama
Tue Mar 17 2015
Wawancara bersama pemain piano terkenal dunia yang berasal dari Malaysia, Muzaffar Abdullah.
Malaysia di landasan tepat jadi hab perniagaan bagi pihak berkepentingan Perancis di ASEAN
Kedudukan Malaysia, dengan ekonomi yang kukuh dan pelbagai, menawarkan akses yang tiada tandingan kepada blok ASEAN yang pesat berkembang.
BN Perlis diyakini bangkit semula pada PRU16
Zambry yakin rakyat sudah mulai membuat perbandingan dan melihat prestasi wakil rakyat dalam Kerajaan Perpaduan pada masa ini.
Perkukuh hubungan diplomatik 65 tahun, perdagangan
Lawatan rasmi sulung Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Brazil yang berlangsung dari 16-19 Nov bakal mengukuhkan lagi hubungan diplomatik yang telah terjalin selama 65 tahun selain dapat meningkatkan peluang perdagangan dan pelaburan.
Bot nelayan Vietnam ditahan, ceroboh perairan negara
Bot itu ditahan dalam operasi Op Naga Barat pada 2 petang Jumaat di kedudukan 157 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Malaysia-New Zealand sepakat tingkat perdagangan, pelaburan 50 peratus
Malaysia dan New Zealand sepakat untuk melonjakkan hubungan dua hala menerusi kerjasama dalam pelbagai bidang terutamanya dalam meningkatkan nilai perdagangan dan pelaburan kepada 50 peratus pada tahun 2030.
Pindaan Akta Mesin Cetak: NUJM, CIJ dan GERAMM tuntut penjelasan KDN
NUJM, CIJ dan GERAMM berkata, mereka memandang serius perkembangan tersebut kerana ia dikhuatiri akan memberi impak besar kepada organisasi dan petugas media serta mengugat kebebasan media di Malaysia.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 16 November 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
ANTARA pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah antara yang paling menjadi tumpuan sepanjang Sabtu, 16 November 2024.
Yayasan PEKEMA lancar program Charity BOX, nafas baharu kepada aktiviti kebajikan
Dalam program berkenaan sumbangan berjumlah RM40,900 disalurkan kepada Pertubuhan Kebajikan Pusat Jagaan Sri Mesra.
KKM harap langkah Johor beri perhatian fasiliti kesihatan jadi ikutan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap kerajaan negeri lain mengikut langkah Johor yang turut sama memberikan perhatian kepada fasiliti kesihatan.
Muzaffar, pemain piano antarabangsa yang membanggakan Malaysia
Wawancara bersama pemain piano terkenal dunia yang berasal dari Malaysia, Muzaffar Abdullah.