PENGARAH filem terkenal, Mamat Khalid bersyukur abangnya kartunis negara, Datuk Mohammad Nor Khalid,65, atau lebih dikenali Datuk Lat berada dalam keadaan stabil.
Mamat Khalid ketika dihubungi Astro Gempak berkata, abangnya kini sedang berehat dan semakin stabil.
“Syukur Alhamdulillah, abang saya semakin sihat dan dia sedang berehat,” jawabnya ringkas.
Kartunis negara tersebut, dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hospital Pantai Ipoh pada 13 Januari lalu akibat masalah jantung.
Dalam pada itu, pengikut dan peminat Mamat Khalid di laman sosial Facebook mendoakan agar kartunis negara itu cepat sembuh dan kembali sihat seperti sedia kala.
Terdahulu Bernama melaporkan Lat dimasukkan ke Hospital Pantai, Ipoh minggu lepas kerana masalah jantung namun dibenarkan keluar Selasa lalu, sebelum dimasukkan semula ke hospital yang sama pada Jumaat dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana wad biasa penuh dengan pesakit lain.
Sementara itu isterinya Datin Faezah Ahmad Zanzali ketika ditemui di hospital berkata, suaminya menerima rawatan di wad biasa dan memerlukan rehat yang secukupnya.
"Semalam (Ahad) dia sedih apabila dapat tahu media mengatakan dia dimasukkan ke ICU sedangkan keadaan dia stabil tetapi sebenarnya dimasukkan ke ICU kerana wad penuh.
"Beri la dia (Lat) masa untuk rehat dan jangan ganggu dia buat sementara waktu ini," katanya.