ASSALAMUALAIKUM, Malaysia.
Nukilan saya ini bukanlah sebagai Altimet, penyanyi rap dan pengusaha industri kreatif semata-mata, tetapi juga sebagai YB Syed Ahmad, seorang wakil rakyat yang berdedikasi bagi kawasan Lembah Jaya serta seorang ahli politik yang komited dalam memperjuangkan perubahan substantif bagi negara kita.
Sebagai seorang tokoh yang mempunyai pelbagai sisi, saya sudah berada di dalam dunia muzik selama lebih dua dekad sebelum menceburi bidang politik dan menerusi pengalaman yang saya lalui inilah yang mendorong saya untuk bersuara pada hari ini.
Ia perihal ancaman cetak rompak digital yang semakin perit membelenggu industri kreatif kita. Seiring dengan peredaran zaman yang kian moden, jenayah cetak rompak turut berevolusi.
Masih segar dalam ingatan saya, bagaimana cakera CD cetak rompak laris dijual di pasar malam. Meskipun senario itu tiada lagi pada hari ini, namun gejala cetak rompak masih utuh.
Kini, penularan jenayah cetak rompak berlaku di alam maya, menerusi penstriman dalam talian yang dibuat secara haram.
Tatkala ramai leka bergembira, asyik melayan kandungan kreatif secara percuma, saya telah melihat dengan anak mata saya sendiri bagaimana musibah ini telah memudaratkan rakan-rakan artis dan para penggiat seni, baik dari segi kewangan mahupun kreativiti mereka.
Bukan itu sahaja, jenayah cetak rompak digital turut memberi ancaman kepada ribuan pekerjaan dan masa depan industri kreatif Malaysia.
Bahkan Astro AWANI juga pernah melaporkan bahawa jenayah terbabit telah memberikan kesan amat buruk kepada industri hiburan dan media negara, dengan kerugian tahunan dilaporkan lebih kurang RM3 bilion dan RM500 juta dalam bentuk cukai.
Era 1990-an
Mengimbau kembali penglibatan awal saya sebagai seorang penyanyi rap, penulis lagu dan penerbit yang bercita-cita tinggi, pelancaran album sulung saya turut dicemari dengan penjualan salinan cetak rompak secara berleluasa.
Saya telah bekerja keras untuk menghasilkannya dan begitu teruja untuk berkongsi karya saya dengan dunia, namun keterujaan itu tidak bertahan lama.
Ia seakan-akan perasaan bangga terhadap hasil kerja saya telah dirampas; membuatkan saya tertanya-tanya tentang kemungkinan terjejasnya nilai karya kreatif.
Saya pernah hadir ke satu acara di mana mereka memainkan lagu-lagu saya yang dimuat naik di YouTube dalam kualiti rendah yang dirakam secara haram.
Geram. Sakit hati. Dukacita. Semuanya ada. Penat lelah saya dan kru dalam menghasilkan karya muzik ibarat sia-sia saja.
Tapi dari sudut lain, saya faham kenapa mereka berbuat demikian. Mereka menyukai lagu dan muzik saya, namun mereka mungkin tidak sedar kesan jangka panjang perbuatan itu apabila menikmati karya seni dengan cara sedemikian.
Melangkah ke Era 2000
Kini, gejala cetak rompak digital semakin berleluasa sekali gus menjadi ancaman yang lebih besar terhadap kelestarian industri hiburan.
Kewujudan platform penstriman haram dalam internet yang tumbuh bak cendawan selepas hujan menjadikan pertempuran terhadap jenayah cetak rompak digital kelihatan seperti tiada berkesudahan.
Disekat sahaja satu, lima yang akan tumbuh silih berganti.
Inilah cabaran baharu buat semua pihak yang berkepentingan. Dugaan yang mana ancamannya tidak pernah kita alami sebelum ini.
Semakin lama ia dibiar membusung, semakin tenatlah industri hiburan tanah air kita dihurung; bukan sahaja kerugian hasil, bahkan jua terhakisnya hak harta intelek.
Benar. Penyelesaian bagi menangani jenayah ini memerlukan usaha yang berterusan dan konsisten; lebih-lebih lagi kerana ia membabitkan usaha untuk mendidik dan memberi kesedaran kepada orang ramai.
Bagaimanapun, saya percaya bahawa ia boleh dilakukan kerana saya pernah bertemu dengan peminat yang mengaku bahawa dahulunya mereka mendengar lagu saya secara haram, namun kini mereka tampil untuk memohon maaf.
Melindungi dan Membangunkan Industri Kreatif
Minat mendalam saya terhadap muzik dan kreativiti berjalan seiring dengan komitmen saya yang tidak berbelah bagi terhadap hak-hak rakan artis dan penggiat industri kreatif.
Saya amat peka terhadap cabaran yang dihadapi oleh rakan pemuzik dan penggiat seni yang terkesan dengan cetak rompak digital.
Melihat susah payah dan jerih yang dihadapi mereka, telah menyemarakkan lagi keazaman untuk saya meneruskan perjuangan dalam membanteras kegiatan jahat dah keji lanun-lanun digital ini.
Sudah tiba masanya untuk kita berhenti berpeluk tubuh dan mengambil tindakan tegas bagi
melindungi integriti industri kreatif kita.
Ambil peduli! Jangan buat-buat tak tahu. Ayuh semua rakyat Malaysia, marilah kita sama melindungi hasil seni kita demi masa hadapan industri kreatif negara.
Gerakan Politik: Mencari Arah Perubahan
Sebagai pendukung seni dan juga wakil rakyat, saya berikrar akan sentiasa komited untuk menggunakan platform yang saya ada bagi mewujudkan perubahan yang signifikan – perubahan yang benar-benar jitu.
Ini termasuk bekerjasama dengan pihak berkepentingan untuk melaksanakan strategi menyeluruh bagi menangani cetak rompak digital, melindungi hak harta intelek, dan mempromosikan alternatif yang sahih.
Bersatu Menentang Cetak Rompak
Saya sedar bahawa perjuangan saya ini bukanlah mudah; penuh dengan ranjau sepanjang jalan.
Namun akan saya harungi jua kerana ia adalah satu misi yang melangkaui kepentingan industri, yang mana pada asasnya berteraskan keadilan hak-hak artis dan para penggiat seni.
Kita perlu bersatu sebagai satu kuasa kolektif, yang merangkumi bukan sahaja artis, tetapi pembuat dasar serta orang awam, untuk menangani jenayah ini.
Saya percaya, bersatu teguh, bercerai roboh. Kita boleh mencorak masa depan yang mana integriti industri kreatif kita terpelihara. Masa depan yang mana sumbangan artis terus dihargai dan selalu dilindungi.
Marilah kita berdiri teguh dalam komitmen kita untuk memupuk budaya yang menghormati dan menyokong kreativiti untuk generasi akan datang dengan memastikan masa depan yang dinamik untuk seni muzik, hiburan dan budaya Malaysia.
#LayanOriJanganCuri
Yang benar,
YB Syed Ahmad @ Altimet
Syed Ahmad, mesra dikenali sebagai Altimet, ialah wakil rakyat bagi kawasan Lembah Jaya yang juga seorang penyanyi rap, penulis lagu, serta penerbit.
Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
Altimet
Mon May 06 2024
Jenayah cetak rompak beri kesan amat buruk kepada industri hiburan dan media negara, dengan kerugian tahunan dilaporkan sekitar RM3 bilion dan RM500 juta dalam bentuk cukai. -Gambar hiasan
[TERKINI] Perkembangan terkini kemalangan tiga kenderaan
Lintas langsung di lokasi kemalangan membabitkan tiga kenderaan hingga dipercayai mengakibatkan sekurang-kurangnya enam terkorban berhampiran RnR Ayer Keroh.
TikTok mungkin dibenarkan beroperasi seketika - Kata Trump
Presiden terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad memberi bayangan beliau mungkin membenarkan TikTok meneruskan operasi di negara itu.
Malaysia, Bahrain sempena 50 tahun hubungan diplomatik
Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik, Malaysia dan Bahrain mengesahkan komitmen untuk mengukuhkan kerjasama dua hala merentasi pelbagai sektor, bertujuan untuk memupuk masa depan yang lebih makmur dan berdaya tahan.
Lelaki bakar penumpang tren bawah tanah hingga maut ditahan
Polis New York City menahan seorang lelaki pada Ahad kerana membakar seorang penumpang wanita kereta api bawah tanah hingga maut.
Tahanan Guantanamo: Pemulihan fokus aspek psikologi, hubungan kekeluargaan
Aspek psikologi perlu diuruskan terlebih dahulu kerana individu yang menyertai kumpulan pengganas kebiasaannya adalah mereka yang menanggung emosi yang berat serta berpandangan radikal.
Rating penerimaan PM Anwar meningkat kepada 54 % tahun kedua
Rating kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meningkat kepada 54 peratus dalam kalangan pengundi Malaysia pada tahun kedua pentadbiran Kerajaan MADANI, berbanding 50 peratus tahun lepas, menurut kaji selidik Merdeka Center.
[TERKINI] Sekurang-kurangnya enam maut, tiga kenderaan bertembung berhampiran RnR Ayer Keroh
Sekurang-kurangnya enam maut dalam nahas membabitkan tiga kenderaan di kilometer 204 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah utara berhampiran kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Ayer Keroh, malam Isnin.
Berita tempatan pilihan sepanjang hari ini
Berikut adalah berita yang paling menjadi tumpuan sepanjang Isnin, 23 Disember 2024.
Berita antarabangsa pilihan sepanjang hari ini
Antara pelbagai berita luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
Konsert Maliq & D'Essentials ditunda
Kumpulan itu berjanji untuk kembali ke Malaysia dan bertemu peminat sebaik tarikh baharu dapat ditetapkan.
#NoToLanun: Muat naik secara haram? Anda sedang diperhatikan! - Finas
Finas dan agensi berkaitan telah mengesan sumber dan lokasi tempat tinggal individu yang terbabit termasuk aktiviti memuat naik dan berkongsi di laman sosial.
Kadar tontonan kandungan cetak rompak di Malaysia turun 64 peratus - Kajian
Kajian terbaharu Pertubuhan Industri Video Asia (AVIA) Menentang Cetak Rompak (CAP) mendapati penurunan sebanyak 64 peratus pengguna melayari laman web cetak rompak.
Penggiat seni bersatu hasilkan video menentang lanun cetak rompak
Zizan Raja Lawak, Lisa Surihani, Aaron Aziz, Nam Ron, Sharifah Amani dan Shamsul Cairel adalah antara artis yang terlibat dalam menyampaikan mesej tersebut.