PROSES pembuatan mancis di kilang satu-satunya di negara ini yang terletak di Kelantan didokumentasikan menerusi filem ‘Ggesek’ dan bakal ditayangkan buat pertama kalinya pada Pesta Filem Kota Bharu 2024 pada Jumaat malam.

Kilang berusia lebih 90 tahun itu masih gah beroperasi di Sungai Keladi di Kota Bharu sejak dibina pada 1933.

Pengurus Pesta Filem Kota Bharu 2024, Ali Aiman Mazwin berkata, filem ‘Ggesek’ akan ditayangkan menerusi slot Panorama Kelantan, satu daripada empat slot dalam tempoh empat hari pesta berlangsung di Dewan Persatuan Hokkien bermula Jumaat hingga Isnin ini.

“Ada keseluruhan 21 filem pendek yang boleh ditonton termasuk empat karya berkisarkan negeri Kelantan iaitu Ggesek, Bee Man, The Legend dan Watermelon.

Barisan yang menjayakan Pesta Filem Kota Bharu di Dewan Persatuan Hokkien di Kota Bharu. - Foto Sinar Harian

“Antara yang menarik ialah ‘Ggesek’ iaitu dokumentari berdurasi 16 minit memaparkan penceritaan hubungan antara manusia dengan mesin, teknologi dan industri masa lalu yang diarahkan oleh Pengarah, Low Weiyan,” katanya ketika ditemui sempena Majlis Perasmian Pesta Filem Kota Bharu 2024 di sini pada Jumaat.

Turut hadir, Pengarah Program Pesta Filem Kota Bharu 2024 dan Kurator, Amir Muhammad.

Beliau berkata, penganjuran kali kedua itu juga menampilkan filem-filem pendek dari Acheh dan Jambi, Indonesia selain dua filem panjang tempatan yang bakal ditayangkan di pawagam pada 19 September ini.

Hadirin yang hadir bergambar pada Majlis Perasmian Pesta Filem Kota Bharu. - Foto Sinar Harian

“Filem panjang Melayu iaitu Tafakur akan ditayangkan esok, manakala filem Tamil, Fire on Water pada Isnin ini.

“Kami amat berbangga kerana ini umpama tayangan perdana dan pertama kali dipertontonkan sebelum memasuki pawagam,” katanya.

Beliau dalam pada itu, turut menyokong lebih banyak filem yang menonjolkan identiti sebuah negeri dihasilkan dalam industri meliputi aspek kebudayaan dan gaya hidup masyarakat tempatan.

“Seperti ‘Ggesek’ sebenarnya bertujuan merekodkan industri pembuatan mancis yang hampir lupus.
“Dengan adanya filem sebegini diharap dapat menjadi rujukan untuk generasi masa depan,” katanya. -- Sinar Harian