KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 telah mengubah lanskap kerja serta kehidupan warga dunia, selain menambah bebanan kepada cabaran yang dipikul.

Industri seni dan kreatif negara tidak terlepas daripada menerima tempias wabak yang telah menular lebih setahun yang lalu.

Bagi pelakon, pengarah dan penerbit tersohor negara, Puan Sri Tiara Jacquelina, persembahan pentas masa kini tidak akan sama seperti dahulu selain memerlukan kreativiti luar biasa dalam setiap penyampaian.

“Ini soal penerbit dan pengkarya untuk menjadi kreatif, bagaimana ingin mempersembahkan sesuatu yang bukan sahaja memenuhi cita rasa penonton, tetapi juga mematuhi segala garis panduan.

“Para penonton sekarang banyak didedahkan dengan tayangan secara dalam talian. Apa yang pasti, ia tidak akan sama seperti dahulu,” katanya ketika ditemu bual Astro AWANI.

Peneraju syarikat produksi Enfiniti (M) Sdn. Bhd itu mengakui kerugian jutaan ringgit ketika beliau dalam usaha membawa Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) ke Panggung Sari, Istana Budaya.

Rancangan itu, sebetulnya selepas penantian 10 tahun beliau untuk kembali mementaskan naskhah agung itu yang dijadualkan pada Julai tahun lalu terpaksa ditangguh susulan pandemik tersebut.

“Berjuta ringgit telah habis begitu sahaja kerana pra-produksi telah bermula, 7,000 tiket telah dijual. Apa yang harus kami lakukan?

“Tiada langsung pendapatan untuk tahun itu (2020). Jangan kata pendapatan, rugi lagi ada, berjuta ringgit, bukan lagi soal ratusan ribu ringgit.

“Kami menerima impak yang sangat teruk akibat pandemik ini,” katanya berterus-terang.

Walaupun impak yang dirasai amat teruk, Tiara bersyukur pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah membuka lembaran baharu kepada industri seni negara.

Bagaimanapun, beliau mengharapkan penjelasan terperinci dapat diberikan kerajaan seiring memastikan kelancaran pembukaan industri seni dan kreatif berjalan lancar, dalam masa sama memenuhi setiap garis panduan yang ditetapkan.

BACA: PKP 2.0: Industri kreatif dibenarkan beroperasi dengan SOP ketat - Ismail Sabri

“Saya harap selepas ini penggiat seni ada peluang untuk mengadakan lebih banyak sesi libat urus bersama kerajaan supaya SOP (prosedur operasi standard) berkaitan persembahan secara langsung ini lebih jelas.

“Setiap aktiviti seni kreatif ini tidak sama. SOP ditetapkan tidak terpakai kepada semua aktiviti,” jelasnya.

Melihat kejayaan beberapa siri pementasan sebelum ini, Tiara amat mengharapkan usaha holistik berterusan dilaksanakan supaya pandemik ini tidak terus menenggelamkan industri seni kreatif negara.