Jericho Rosales yang popular menerusi “Pangako Sayo” dijangka bakal membintangi sebuah drama bersiri tempatan.

Masih dalam fasa perbincangan, hero tampan ini dijangka akan digandingkan bersama heroin Malaysia dan disiarkan menerusi Astro Bella.

Pada tahun 2008, Jericho pernah berlakon bersama Awal Ashaari, Louisa Chong dan Carmen Soo di bawah produksi Malaysia menerusi drama bersiri berjudul Elliza.

“Saya tidak sabar dan teruja untuk kembali berlakon bersama produksi Malaysia yang bakal berlangsung pada tahun ini setelah menerima beberapa tawaran dari pihak Astro”, kata Jericho.

Beberapa kali berkunjung ke Malaysia, Jericho juga menyatakan tidak keberatan untuk berlakon menerusi filem Malaysia jika diberikan watak dan tawaran yang sesuai.

Pelakon kelahiran Filipina ini juga pernah membuat kemunculan istimewa menerusi filem “Bilut” arahan Bada Hj. Azmi pada tahun 2006.

“Saya ingin berlakon filem di Malaysia, ia sebuah projek yang bagus dan saya akan lakukannya. Saya sekarang seronok kerana Pangako Sa'Yo dan Sany Wala Nang Wakas sedang disiarkan, ia membuka balik peluang kerjaya saya, dan ia peluang yang bagus untuk saya dan terima kasih kepada Astro untuk saluran yang menarik mengambalikan drama ini ke Malaysia”, katanya pada sidang media.

Sementara itu, Jericho turut mengakui sedang hangat bercinta dengan pengacara dari Australia, Kim Jones.

Bagaimanapun, mereka belum merancang untuk berkahwin selain ingin memberi tumpuan kepada kerjaya masing-masing.

“Kami sangat bahagia dengan hubungan ini, kami sangat mencintai antara satu lain, kami memberi sokongan kepada satu sama lain, ia sebuah hubungan yang sangat-sangat bahagia”, katanya sambil tersenyum.

Jericho ditemui pada sambutan ulang tahun Astro Bella di sebuah hotel di Kuala Lumpur.