KETERAMPILANNYA di layar perak tidak dapat disanggah. Berikan sahaja apa watak sekalipun, tampak mudah dihayatinya. Sehebat mana pesonanya di pentas lakonan, sehebat itu juga Shah Rukh Khan (SRK) di mata anak-anaknya.

Superstar berusia 52 tahun itu tidak mahu kerjaya menjarakkan dirinya daripada anak-anaknya terutama yang paling bongsu AbRam.

Sempena ulang tahun kelima AbRam, Raja Bollywood itu menitipkan pesanan di laman twitternya.

“Anak-anak perlu mendengar muzik mereka sendiri, menyanyi lagu mereka sendiri dan percaya pada mimpi mereka sendiri,” tulis SRK.

Pesanan SRK itu tidak hanya ditujukan buat AbRam malah kepada anak dan ibu-bapa seluruh dunia.

Dia turut memuat naik wajah comel AbRam yang disinari cahaya suria.


Tidak ketinggalan menitipkan ucapan selamat hari lahir buat AbRam menerusi Twitter isteri SRK, Gauri Khan.


AbRam lahir pada 27 Mei 2013 menerusi kaedah pembedahan.

Selain Abram pasangan ini juga mempunyai dua lagi anak, Aryan, 20 dan Suhana,18 tahun.