Konsert yang berjudul “Anuar Zain Tiga Dekad Muzik Cinta dan Sanubari” akan dipentaskan pada 16hb Februari 2013 bermula pukul 8.30 malam di Stadium Putra, Bukit Jalil dengan harga tiket bermula dari RM88 untuk Palladium sehingga RM 698 untuk Platinum.
“Kita membuat konsert berskala besar. Mana mungkin kita boleh membeli tiket dengan harga murah untuk sebuah konsert yang mega. Bukan keuntungan yang dicari malah saya ingin memberikan yang terbaik untuk peminat-peminat saya.
“Ini semua bergantung kepada individu kerana mereka mempunyai citarasa sendiri. Jikalau mereka hendak datang, mereka akan datang,” jelas Anuar.
Penyanyi berusia 42 tahun ini menjanjikan sesuatu yang istimewa untuk peminat-peminat beliau kerana ini merupakan konsert mega.
“Saya akan bekerjasama dengan Jennifer Thompson selaku pengarah orkestra dan Amri Ginang yang diberi tanggungjawab untuk menentukan ‘storyboard’. Kami sudah tahu tentang aliran dan juga kandungan konsert itu dengan terperinci.
ANUAR: Hanya yang terbaik untuk peminat
“Setiap lagu akan diberi susunan yang baharu dan segar. Saya juga tidak akan menggunakan penari latar jadi tugasan saya amat berat untuk menghayati setiap lagu dan menyentuh jiwa,” kata Anuar.
Ini pula ditambah dengan skrin LED dan sistem cahaya yang akan digunakan sepenuh masa untuk memberi pengalaman audio visual yang menakjubkan.
Dari segi pentas pula, Anuar inginkan sebuah pentas yang ringkas namun mempunyai ‘laluan’ di tengah dan di tepi supaya beliau boleh dekat bersama mereka yang hadir.
“Saya juga ingin 30 ahli pemuzik di atas pentas supaya mereka boleh dilihat kerana mereka adalah sebahagian dari konsert ini. Mereka harus bersama saya,” kata beliau.
Pada masa yang sama, Anuar juga mengumumkan bahawa klip video terbaharu beliau yang diberi judul ‘Sempurnakan Aku’ akan ditayangkan pada konsert berkenaan. Klip video ini adalah sambungan dari klip video ‘Ajari Aku’ yang telah mencecah 94,000 hit di laman YouTube.