Pelakon Yaya Maembong akui kurang melakukan kerja berat dan aktiviti lasak sejak hamil.

Yaya yang sedang hamil lima bulan itu memberitahu kerja-kerja berat yang biasa dilakukannya seperti bertukang dan mengalihkan perabot terpaksa dielakkan demi kandungannya.

Alhamdulilah, kandungan saya kini sudah mencecah lima bulan. Setakat ini saya lalui hari-hari seperti biasa sahaja tidak banyak perubahan yang saya alami.

“Cuma saya kini lebih beringat dan berhati-hati lah ketika lakukan aktiviti harian, kerana saya sebelum hamil memang agak lasak.

“Jika sebelum ini saya buat kerja-kerja bertukang, mengangkat dan alihkan perabot rumah, sekarang tidak lah. Suami pun selalu ingatkan supaya saya tidak melakukan aktiviti itu lagi,” katanya.

Menurut Yaya lagi sehingga kini dia dan suami, pelakon Wan Raja, belum berpeluang mengetahui jantina anak dalam kandungannya walaupun sudah membuat pemeriksaan imbasan ultrasound bulan lalu.

“Kami belum dapat tahu lagi jantina kerana ketika scan, alat sulitnya terselindung dan doktor tidak dapat mengesahkannya. Tapi kami akan lakukan imbasan ultrasound sekali lagi,” ujarnya.

Pada Selasa lalu, dunia hiburan dikejutkan dengan berita mengenai penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Tarudin yang keguguran kandungannya berusia 2 bulan.

Yaya yang turut mengetahui mengenai berita itu amat bersimpati dengan nasib penyanyi lagu Aku Cinta Padamu itu.

“Saya terkejut juga bila dapat tahu mengenai berita itu. Saya amat bersimpati kepada Siti Nurhaliza yang sudah sembilan tahun menunggu untuk mempunyai zuriat.

“Tapi mungkin rezekinya belum sampai dan saya yang mendengar berita itu terus tersentak. Yelah nasib kita tak tahu lagi, jadi saya perlulah jaga baik-baik kandungan saya ini,” katanya yang popular dalam program realiti The House itu.

The House ialah sebuah program yang menampilkan realiti kehidupan Yaya bersama dua adiknya Chacha dan Emma yang disiarkan secara eksklusif menerusi portal Astro Gempak dan laman web www.thehouse.com.my setiap Rabu jam 4.00 petang.

The House juga boleh ditonton menerusi siaran televisyen yang disiarkan di saluran Astro Ria (104) dan Astro Ria HD (123) pada setiap hari Isnin jam 9.30 malam.