BINTANG GegarVaganza 3 (GV 3), Razis Ismail sudah menjangkakan dirinya akan tersingkir di minggu kedua GV 3.
"Sebelum membuat persembahan lagi saya sudah dapat merasakan yang saya bakal tersingkir.
"Saya tahu kemampuan saya dalam pertandingan ini. Saya sudah berumur dan semua yang bertanding dengan saya pula seperti adik-adik dan anak-anak kepada saya," kata Razis kepada Astro Gempak.
Tidak bersedih hati kerana tersingkir di minggu kedua, Razis bersyukur kerana GV 3 memberikan landasan untuk dirinya dikenali semula.
"Saya tidak sedih. Sudah tertulis rezeki dan peluang saya hanya bertahan di minggu kedua sahaja. Saya memasuki GV 3 bukanlah untuk menang.
"Saya merasakan GV 3 sebagai platform yang baik untuk orang ramai mengenali saya semula. Sebelum ini, saya turut mendapat jemputan untuk membuat perkongsian mengenai agama Islam.
"Saya mahu menggunakan meneruskan hasrat saya untuk menjadi seorang penghibur sambil berdakwah. Saya berharap agar niat murni saya dipermudahkan, Insya-Allah," katanya lagi.
GV 3 bersiaran secara langsung dari Auditorium MBSA pada setiap Ahad, pukul 9 malam serta boleh ditonton di Astro Ria (saluran 104) dan Ria HD (saluran 123).
Konsert minggu ketiga GV 3 bakal membawa tema Ada Bran? dan 11 bintang masih kekal berentap untuk merebut gelaran juara.