SYDNEY: Seorang pengacara sebuah stesen televisyen Australia mengakui kecewa dengan kesilapan yang dilakukan kerana gagal menyiarkan perkongsian penyanyi popular Adele mengenai kemunculan album terbaharunya, 30, menerusi satu temu bual eksklusif, baru-baru ini.

BBC melaporkan, pengacara itu, Matt Doran dari Channel 7 bersama dua lagi rakan kerjanya, dikatakan terbang ke London pada 4 November lalu untuk menemu bual penyanyi popular itu.

Memetik media tempatan Australia, lawatan berkenaan adalah sebahagian daripada pakej hak cipta rangkaian berkenaan yang bernilai AS$1 juta (RM4.18 juta).

Doran dalam satu temu bual memohon maaf atas kesalahan itu dan mengakui dia tidak sempat mendengar lagu daripada album itu.



Menurutnya, dia terlepas pandang emel yang disertakan bersama pratonton lagu-lagu itu.

Syarikat rakaman Adele, Sony kemudian menarik balik rakaman temu bual berkenaan, sekali gus tidak membenarkan ia disiarkan. 

"Saya akui ini satu kelalaian namun ia tidak disengajakan. Ini adalah emel paling penting dan saya akui terlepas pandang," katanya.

Dalam pada itu, Doran menafikan khabar angin yang mendakwa kononnya dia digantung kerja dari Channel 7 ekoran tindakanya kerana tidak ke udara beberapa hari.

Ini adalah temu bual eksekusif berprofil tinggi untuk Doran bagi program kendalian, Weekend Sunrise.

Tindakannya itu turut menerima kritikan netizen, tidak kurang yang menyindirnya.

Album 30 merupakan album pertama Adele yang dikeluarkan selepas enam tahun.