KUALA LUMPUR: Teka-teki status rumah tangga Fazura dengan Fattah Amin 'terjawab' selepas aktres terkenal tanah air itu dilapor memfailkan perceraian terhadap suaminya, hari ini.


Ringkasan AI
  • Fazura dilapor telah memfailkan perceraian terhadap suaminya, Fattah Amin, di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam.
  • Isu keretakan rumah tangga pasangan selebriti ini telah menjadi perbualan hangat di media sosial, walaupun Fattah menafikan adanya masalah dalam perkahwinan mereka.
  • Pasangan ini mempunyai seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia empat tahun.


Sumber memaklumkan perceraian pasangan selebriti itu, yang telah mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017, difailkan wakil peguam Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Shah Alam.

Bagaimanapun, memetik laporan Gempak, butiran terperinci berhubung perkara itu tidak didedahkan.

Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di laman sosial Fazura mendapati para pengikut laman Instagramnya meninggalkan kata-kata semangat buat pelakon filem Gol & Gincu itu.

Isu keretakan rumah tangga Fazura, 41, dan Fattah, 33, menjadi perbualan hangat media sosial sejak kebelakangan ini apabila pasangan itu didakwa tidak lagi meninggalkan komen atau tanda suka dalam hantaran di akaun masing-masing.

Bagaimanapun, Fattah yang juga pelakon filem Mat Kilau tampil menafikan rumah tangganya berdepan dengan masalah seperti yang digembar-gemburkan.

Hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun.

Astro AWANI masih cuba mendapatkan pengesahan berhubung perkara ini.