BARU sahaja bercerai talak satu pada Isnin, bekas pasangan selebriti sensasi Fattah Amin dan Nur Fazura dikatakan bakal melancarkan lagu duet baharu berjudul ‘Bertahan Demi Cinta’.

Dirakam Awal

Perkara itu dimaklumkan oleh sebuah label rakaman Indonesia, Hits Records menerusi sebuah hantaran di Instagram.

Kongsinya, lagu duet tersebut bakal diluncurkan di semua platform digital pada 10 Oktober ini iaitu pada Khamis.

Difahamkan juga, dua selebriti itu sudah lama merakam lagu yang mendapat sentuhan komposer Ippo Hafiz itu ketika mereka masih berstatus suami isteri.

Menerusi perkongsian yang sama, label tersebut turut berkongsi sedikit ‘teaser’ lagu berkenaan.

Menjengah ruangan komen, pelbagai reaksi diluahkan netizen apabila ada segelintir yang menganggap kurang sesuai melancarkan lagu itu pada waktu sekarang susulan isu rumah tangga Fattah dan Fazura masih diperkatakan.

Terdahulu, Fattah dan Fazura disahkan bercerai talak satu dan lafaz cerai dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Abdul Malik Soleh kira-kira jam 9.45 pagi Isnin.

Pada 13 September lalu, Fazura memfailkan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.

Imbas kembali, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017. Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya yang kini berusia empat tahun. -- Gempak