Pengasas bersama Apple menyifatkan fakta dalam filem mengenai Steve Jobs adalah tidak tepat.

Steve Wozniak juga terkilan apabila filem ‘Jobs’ tidak menggambarkan personaliti watak mereka yang sebenar.

Apa yang lebih mengecewakan Wozniak ialah gambaran mengenai hubungannya dengan Jobs dalam filem itu.

Wozniak yang meninggalkan Apple pada 1987 selepas 12 tahun memberitahu mereka tidak pernah berinteraksi seperti yang dipaparkan dalam filem itu.

Bagaimanapun, pembikinnya menyatakan ia bertujuan sebagai hiburan dan bukan kisah benar perintis teknologi terkenal dunia itu.

Wozniak merupakan antara penonton pertama yang menyaksikan filem ‘Jobs’ sewaktu tayangan perdana filem itu di Festival Filem Sundance baru-baru ini.

Karya pertama mengenai Jobs yang meninggal dunia pada 2011itu dijadual pelancarannya pada April depan.

Filem arahan Joshua Michael Stern itu menyaksikan peranan Jobs digalas Ashton Kutcher manakala watak Wozniak dilakonkan Josh Gad.