LOS ANGELES: Filem drama komedi khayalan arahan Asia A24, Everything Everywhere All at Once, mengetuai pencalonan untuk Anugerah Akademi ke-95 atau Oscar, dengan 11 pencalonan, menurut Academy of Motion Picture Arts and Sciences pada Selasa.

Filem pengembaraan aksi sci-fi lucu mengisahkan tentang seorang wanita Cina Amerika yang penat dan tidak dapat menyelesaikan isu cukainya, dicalonkan dalam beberapa kategori utama, termasuk filem terbaik, pengarah terbaik Daniel Kwan dan Daniel Scheinert, pelakon terbaik Michelle Yeoh, pelakon pembantu terbaik Ke Huy Quan, dan pelakon pembantu terbaik Jamie Lee Curtis dan Stephanie Hsu, lapor Xinhua.

Yeoh mencipta sejarah Anugerah Akademi apabila menjadi pelakon Asia pertama dicalonkan bagi kategori pelakon wanita terbaik.

Pelakon keturunan Cina dari Malaysia itu memenangi anugerah Golden Globe pertamanya sebagai pelakon terbaik dalam filem muzikal atau komedi awal bulan ini.

Everything Everywhere All at Once juga dicalonkan untuk reka bentuk pakaian terbaik, skrip asal terbaik, skor asal terbaik, penyuntingan filem terbaik dan lagu asal terbaik.



Filem tragicomedi gelap terbitan Searchlight Pictures iaitu The Banshees of Inisherin dan filem antiperang Jerman All Quiet on the Western Front menyusul dengan 9 pencalonan, diikuti filem drama biografi Warner Bros. Pictures Elvis menerusi lapan kategori.

Everything Everywhere All at Once, The Banshees of Inisherin, All Quiet on the Western Front dan Elvis akan bersaing dengan Avatar: The Way of Water dan lima filem lain untuk anugerah filem terbaik.

Yeoh akan bersaing dengan Cate Blanchett (Tar), Ana de Armas (Blonde), Andrea Riseborough (To Leslie) dan Michelle Williams (The Fabelmans) dalam kategori pelakon wanita terbaik.

Austin Butler (Elvis), Colin Farrell (The Banshees of Inisherin), Brendan Fraser (The Whale), Paul Mescal (Aftersun) dan Bill Nighy (Living) dicalonkan untuk anugerah pelakon terbaik.

Persaingan untuk filem animasi terbaik pula adalah antara Pinocchio karya Guillermo del Toro, Marcel the Shell With Shoes On, Puss in Boots: The Last Wish, The Sea Beast, dan Turning Red.

Turning Red arahan Pixar Animation Studios arahan pembuat filem Kanada kelahiran China, Domee Shi yang sebelum ini memenangi Oscar untuk filem pendek animasinya, Bao, pada 2019.

All Quiet on the Western Front akan bersaing dengan filem Argentina,1985 dari Argentina, Close dari Belgium, EO dari Poland dan The Quiet Girl dari Ireland untuk filem antarabangsa terbaik.

Majlis Anugerah Akademi ke-95 akan berlangsung pada 12 Mac di Teater Dolby di Hollywood, Los Angeles.
- BERNAMA