KUMPULAN BTS hanya akan memulakan persembahan konsert 'Love Yourself' mereka pada pukul 7 malam ini, tetapi peminat di Kota Singa sudah mula ‘merengek’ sejak semalam lagi.

Mana tidaknya, sejak petang Jumaat, ratusan peminat BTS sudah mula berkumpul di luar Stadium Nasional Singapura.

Menurut laporan Channel News Asia, kebanyakan mereka sudah beratur untuk membeli cenderamata BTS walaupun kedai cenderamata hanya dibuka pada jam 9 pagi Sabtu.


Suasana diumpamakan seperti sebuah mini konsert apabila peminat tidak keruan mendengar lagu-lagu BTS yang dimainkan dari dalam stadium.

Kebanyakan mereka percaya kumpulan kesayangan mereka itu sedang mengadakan latihan sebelum mengadakan konsert sebenar malam ini.


Kehadiran BTS di Singapura juga bagaikan himpunan peminat dari seluruh Asia Tenggara.

Selain kebanyakannya tiba dari Malaysia dan Indonesia, ARMY dari Myanmar dan Vietnam turut terbang ke Singapura.

Ini merupakan konsert pertama BTS yang dilakukan dalam skala yang besar di Singapura.

Kumpulan ini pernah mengadakan konsert jelajah 'The Red Bullet' di The Star Theatre yang mempunyai kapasiti penonton yang terhad.

Sekiranya ARMY di Asia Tenggara terlepas menonton konsert malam ini di Singapura, mereka terpaksa menunggu sehingga April depan untuk menyaksikan BTS beraksi di Stadium Rajamangala, Bangkok, dalam konsert yang akan diadakan pada dua malam.

BACA : Konsert Love Yourself: Demi BTS, peminat sanggup belanja RM2,000 sehari

BACA : Harga tiket RM28,000 sekeping untuk tonton BTS di Singapura

Walaupun Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah memberi harapan akan membawa BTS ke Malaysia, namun sehingga kini ARMY di Malaysia masih belum mendapat apa-apa kepastian.