SEOUL: Anggota kumpulan BTS, Jin bakal tampil dengan single pertama tidak lama lagi.

Memetik laporan Soompi, Jin atau nama sebenarnya Kim Seok-jin memaklumkan berita itu di konsert BTS’s World Expo 2030 di Busan, baru-baru ini.

“Ada sesuatu yang ingin saya katakan. Saya bakal menjadi orang kedua selepas J-Hope yang memiliki lagu sendiri. Bukan album penuh atau sebagainya, hanya single.

“Saya juga dapat bekerja dengan seseorang yang digemari, jadi saya akan keluarkan lagu baharu. Saya telah buat banyak benda berbeza sejak kebelakangan ini, masih ada kandungan yang akan dirakam untuk anda semua nikmati,” katanya yang terus mengusik penonton yang hadir.

Menerusi kenyataan media agensi Big Hit Music single berjudul The Astronaut dilancarkan pada 28 Oktober ini pada jam 1 tengahari.

"Jin meletakkan cintanya kepada penyokongnya, ARMY dan The Astronaut merupakan hadiah untuk mereka,” kata agensi itu.

Dalam masa sama, agensi berkenaan turut memuat naik video treler di media sosial rasmi BTS berserta jadual promosi single Jin akan datang.

Video berdurasi dua minit 35 saat itu memaparkan aksi seorang angkasawan meninggalkan kapal angkasa dan melalui ruang angkasa yang gelap.

Angkasawan itu menghadapi masalah apabila batuan angkasa besar terbang ke arahnya.

Menghindar halangan yang datang, angkasawan akhirnya tiba di satu sumber cahaya misteri berkilauan berwarna ungu.