IPOH: Pemenang Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-35, Ngasrizal Ngasri atau Bell tidak akan melupakan jasa pengarah Allahyarham Mamat Khalid yang memberikan watak Barkoba kepadanya dalam telefilem bersiri '16 Puasa', '17 Puasa' dan '18 Puasa'.

Bell berkata watak itu cukup memberi kesan dalam hidupnya yang sekali gus melonjakkan semula populariti beliau dalam dunia hiburan tanah air.

Pelakon dan pelawak yang mencecah usia 43 tahun itu menganggap Mamat adalah sutradara prolifik yang berjaya menggilap watak Barkoba hingga menjadi fenomena.

"Orang suka dengan Barkoba yang hari ini menjadi seperti fonemena kerana watak saya dalam telefilem 16 Puasa, 17 Puasa dan filem 18 Puasa Di Kampong Pisang. Saya takkan lupa jasa arwah membantu melonjakkan semula nama saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika dijemput menjadi panel program Sembang Santai Sempena Pameran Sutradara Mamat Khalid: Dalam Kenangan 2023 di Perpustakaan Awam Negeri Perak di sini pada Rabu.

Bell berkata Allahyarham Mamat merancang untuk meneruskan sekuel telefilem 19 Puasa dan 20 Puasa, namun tidak kesampaian.

Telefilem bersiri 16 Puasa, 17 Puasa dan 18 Puasa adalah telefilem yang mula ditulis dan diarahkan oleh Allahyarham Mamat Khalid sekitar 2017 dan menampilkan Bell sebagai Barkoba selain pelakon seperti Aziz M. Osman, Sabri Yunus dan Arab Khalid.

Ia mengisahkan sekumpulan penduduk di Kampong Pisang yang suka ponteng puasa dan berusaha menyembunyikan kegiatan itu daripada pengetahuan keluarga masing-masing.

Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohd Khalid meninggal dunia pada 24 Okt 2021 selepas rebah di restoran miliknya Sarang Art Hu di Tanjung Malim.

Allahyarham menghembus nafas terakhir pada usia 58 tahun.

-- BERNAMA