Menurut Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 54 tahun, dia mengambil inspirasi judul lagu terbarunya daripada rangkap pertama lagu popularnya, Janji Manismu.
"Saya tak sindir sesiapa. Lagu itu mengambil inspirasi daripada lagu popular saya, Janji Manismu. Saya juga muncul dengan judul lagu yang panjang kerana ingin mengimbau judul lagu-lagu lama yang pernah diterbitkan dulu.
"Jika kita imbas semula, di zaman 80-an dan 90-an, kebanyakan lagu diberi judul yang panjang. Jadi, apa salahnya jika saya mahu mengembalikan memori terbabit dalam penciptaan lagu terbaru saya.
"Sebenarnya, lagu ini bercerita mengenai aktiviti yang dilakukan oleh netizen di laman sosial. Mereka gemar berselindung dan tidak menggunakan identiti sebenar, lebih buruk, mereka meninggalkan komen-komen negatif terhadap pengguna laman sosial lain.
"Ini merupakan pengalaman saya sendiri yang berhadapan dengan sikap tidak bertanggungjawab netizen. Saya coretkan ia dalam lagu ODIPK," kata Aishah.
Aishah ditemui di sidang media Spectacular Secretaries Week Luncheon 2019 yang diadakan di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini.
Menerusi acara terbabit, Aishah bakal berganding dengan Nora Ariffin dan pemain saksofon terkenal, Alif Nasir.
"Insya-Allah, acara terbabit bakal berlangsung pada 25 April ini. Saya bakal bergandingan dengan Nora dan Alif. Saya tak sabar mahu menghiburkan peminat dengan seleksi lagu yang menarik.
"Mungkin akan ada segmen duet antara saya dan Nora tetapi semuanya masih dalam perbincangan," katanya lagi.