“KALAU tak jadi jutawan, jangan jadi pelakon. Gila glamor buat apa? Kita kena kaya raya. Jangan seperti P Ramlee tinggal pun di tepi Bukit Bintang. Kita tak boleh masa glamor lupa diri, berlagak dan berjoli tetapi bila dah tua tak ada duit.”

Kenyataan inilah yang menyebabkan ketua pegawai eksekutif Metrowealth Pictures (MiG) David Teo diselar kerana dianggap menghina seniman agung negara Tan Sri P. Ramlee.

Khamis lalu, David Teo menerusi ruangan hiburan Malay Mail Online menyatakan komitmen MiG untuk membimbing para pelakon untuk mengembangkan bakat sehingga mampu bergelar jutawan.

Namun tindakannya menyandarkan P. Ramlee sebagai contoh pelakon yang berlagak dan berjoli hingga tiada duit pada usia tua membangkitkan kemarahan dalam kalangan anak seni dan netizen amnya.

Anak seni bidas David

Menurut pengarang buku Membedah P. Ramlee Daniyal Kadir, kenyataan tersebut amat tidak wajar.

“Perjuangan seniman era filem Melayu melangkaui aspek populariti. Seniman dahulu sepanjang masa menuntut hak-hak bersesuaian termasuk gaji, cuti, kemudahan perubatan dan sebagainya. Ini yang berlaku sekitar tahun 1950 sehingga hujung 1960-an,” tambah Daniyal.

Pengarah dan pelakon Sabri Yunus pula memilih untuk menyindir Teo dengan status Facebook yang puitis dan sinis:


Presiden Persatuan Penulis Lakon Layar Kuala Lumpur dan Selangor (PENULIS) Alfie Palermo pula menyifatkan kenyataan David Teo, 51, ironik.

“MiG terkenal kerana membayar krew perfileman dengan harga rendah, tidak memberi kredit kepada penulis skrin dengan menggunakan istilah Panel Skrip. Ini sebab utama industri ikut trend yang sama: kos rendah, untuk keuntungan lebih tinggi,” ujar Alfie.


Kenyataan David turut dikutuk oleh Komuniti Filem Titiwangsa, yang menghimpunkan penggiat serta pencinta filem antaranya pengarah Bunohan Dain Said dan ahli sejarah filem Hassan Muthalib.


“Jangan hina P. Ramlee”

Netizen amnya turut berkongsi rasa tidak senang hati dengan kenyataan Teo yang dianggap biadap.

Mereka rata-rata membandingkan mutu filem terbitannya dengan puluhan filem P. Ramlee yang malar segar dan ditonton tanpa jemu hingga kini.


David Teo cuma nasihat

Namun ada juga yang berpendapat Teo sekadar memberi nasihat dan melahirkan keprihatinan terhadap industri seni.

Amir Hafizi, penulis skrin Hikayat Merong Mahawangsa dan Magika menganggap Teo sekadar prihatin.

“Betul juga apa yang dia katakan. Takkan nak joli saja,” tambah Amir.

Pengarah dan pelakon Melissa Saila turut menyelar kenyataan Teo dan berpendapat karya P.Ramlee kaya dengan cara yang tersendiri.



Namun, apa yang menghairankan Teo mengeluarkan kenyataan adalah tidak berasas.

Mengapa perlu beliau membuat perbandingan artis dahulu dan sekarang.

Semalam, Astro AWANI cuba menghubungi Teo namun gaga kerana beliau berada di luar negara ketika ini.