Penerbit dan pengarah filem itu Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata menggunakan tajuk Gunah bermaksud dosa, filem tersebut dialih ke Bahasa Urdu dan ditayangkan di 38 buah pawagam sejak semalam.
"Gunah diharap dapat memikat hati penonton di Pakistan dengan keunikan kisah seramnya yang mempunyai elemen kerohanian, relevan dengan konteks budaya tempatan.
"Tayangan ini menandakan satu langkah penting dalam usaha memperkenalkan filem Malaysia di pasaran antarabangsa dan mengangkat hasil karya tempatan ke peringkat yang lebih tinggi," katanya dalam kenyataan di sini.
Dalam kenyataan sama, Ketua Pegawai Operasi 8TV, Pengedaran Filem dan Kandungan, Rangkaian Televisyen Media Prima Kevin Foo berkata kejayaan itu mencerminkan kesungguhan mereka yang terlibat dalam menghasilkan karya yang dihargai hingga ke peringkat global.
"Kami berharap filem ini dapat memberi pengalaman baharu kepada penonton di Pakistan, sekali gus menyemarakkan lagi minat terhadap karya tempatan di arena antarabangsa. Ini hanya permulaan dan kami akan terus berusaha untuk mengukuhkan kehadiran filem Malaysia di persada dunia," katanya
Anak Perjanjian Syaitan 2 mula menemui penonton pada 4 Jan lepas dan ditayangkan lebih 100 pawagam di negara ini.
Filem seram terbitan Grand Brilliance Studio itu dibintangi oleh Eyka Farhana, Alif Satar, Azizah Mahzan, Shahruddin Thamby, Fasha Sandha, Dian P Ramlee dan Azlan Komeng.
Naskhah itu mengetengahkan watak Azlinda yang dihantui kejadian mistik sejak kecil. Walaupun disahkan menghidap kebimbangan melampau, dia yakin gangguan tersebut berkait rapat dengan sejarah hitam ibunya.
-- BERNAMA