“I am your father.”

Ini merupakan antara frasa yang paling popular dalam budaya pop dunia, khususnya bagi para peminat semesta Star Wars.

Ia diucapkan oleh watak antagonis Darth Vader dalam filem Star Wars Episode V: Empire Strikes Back, mendedahkan kebenaran kepada Luke Skywalker kebenaran bahawa dialah bapanya.

Namun persoalannya yang bermain sehingga kini, 38 tahun selepas filem tersebut memecahkan panggung adalah: siapa pula bapa kepada Darth Vader.

Buat pengikut Star Wars, umum mengetahui Darth Vader asalnya adalah Anakin Skywalker yang lahir tanpa bapa oleh ibunya, Shmi, seorang hamba di sebuah planet tandus bernama Tatooine, seperti mana yang diceritakan dalam prequel pertama terbitan 1999 ’Episode 1: The Phantom Menace.’

Dikatakan Anakin adalah ‘The Chosen One’ atau Yang Terpilih untuk membawa keseimbangan dalam The Force kerana kelahirannya tanpa bapa itu dipercayai terhasil daripada kuasa ghaib yang tidak dinyatakan. The Force? Midichlorians?

Bagaimanapun, siri komik Marvel bertajuk ‘Darth Vader’ mendedahkan siapa sebenarnya di sebalik kelahiran Anakin itu.

Dalam komik nombor 25 siri tersebut, disebutkan kisah di mana Anakin membuka portal ke alam kematian dalam usahanya untuk membawa pulang roh isterinya, Padme dan menghidupkannya semula selepas terkorban semasa melahirkan anak mereka.

Ketika pengembaraannya di alam kematian itu, apa yang disaksikan Anakin adalah imbasan-imbasan perjalanannya menuju lembah kejahatan atau ’The Dark Side’ dan juga identiti kedua-dua ibu bapanya.

Anakin terlihat ibunya Shmi bersama satu sosok di belakangnya, iaitu Darth Sidious (Emperor Palpatine) sedang menggunakan ‘Dark Force’ untuk menghamilkannya.


Rupanya Darth Sidious telah menyusun gerakan dari dalam rahim seorang hamba untuk mewujudkan seorang Jedi terhebat untuk dijerumuskan ke lembah kejahatan dan melenyapkan seluruh Jedi di alam semesta supaya Sith boleh kembali berkuasa.

Hebat sungguh Darth Sidious?

Ya, kerana gurunya, Darth Plagueis diketahui sebagai ‘Dark Lord of the Sith’ yang paling berkuasa dan hebat kerana mahir memanipulasi Force untuk mempengaruhi Midichlorians (zat-zat kehidupan dalam alam Star Wars) untuk mencipta kehidupan.

Dan menurut legenda, Darth Plagueis dibunuh dalam tidurnya oleh anak muridnya sendiri, iaitu Darth Sidious.

Mungkin terjawab satu persoalan tentang identiti bapa Anakin Skywalker. Tetapi tidak lagi terjawab persoalan lain iaitu - mengapa Shmi, seorang hamba planet Tatooine dipilih Darth Sidious?

Of all the monsters I have created, I still regard Darth Vader as something of a minor masterpiece.