JAKARTA: Pemuzik dan pencipta lagu, Ahmad Dhani mengkritik pengurusan royalti muzik di Indonesia yang dianggap tidak diurus dengan berkesan.

Kritikan itu dibuat berdasarkan data pendapatan royalti muzik daripada Institut Pengurusan Kolektif Negeri (LMKN) dan Institut Pengurusan Kolektif (LMK).

Ahmad Dhani berkata, pendapatan royalti untuk hak persembahan muzik atau acara langsung sepanjang 2023 hanya mencecah 900 juta rupiah (RM251,000), jauh lebih kecil berbanding jumlah pendapatan royalti muzik dari televisyen, radio dan lain-lain yang mencecah 140 bilion rupiah (RM39 juta).

"Daripada jumlah royalti 140 bilion rupiah, hanya 900 juta rupiah daripada persembahan muzik. Itu tidak sampai satu peratus," kata Ahmad Dhani dalam sesi forum berkaitan Pengurusan Royalti Muzik di Jakarta, pada Selasa.

Tegasnya, angka itu adalah bukti pengurusan royalti untuk persembahan muzik masih belum berkesan dan memerlukan ketelusan, dan isu inilah yang mencetuskan kemarahan penulis lagu.

“LMK dan LMKN sudah 10 tahun ditubuhkan, tetapi mereka nampaknya tidak berhasrat untuk mencipta sistem pembayaran royalti yang lebih baik,” tambah Ahmad Dhani.

Justeru, Ahmad Dhani mewakili anggota Persatuan Komposer Indonesia (AKSI) mencadangkan penyelesaian dalam bentuk sistem Digital Direct License (DDL) bagi menambah baik pengurusan royalti muzik yang lebih telus dan cekap.

"AKSI telah membentuk sistem tersendiri supaya pengurusan persembahan muzik lebih baik. Ini tidak sepatutnya menjadi satu perkara yang sukar jika kita semua bekerjasama dan berniat baik," tambahnya.

Kritikan Ahmad Dhani itu dijawab oleh Menteri Ekonomi Kreatif, Teuku Riefky Harsya yang turut hadir dalam perbincangan itu, yang menyatakan kerajaan bersedia mendengar input dan menambah baik sistem royalti muzik di Indonesia.