Lebih 1,000 pejuang seni tanah air termasuk artis, seniman, pelukis, pemuzik dan pemuisi bergabung pada Ahad dalam program Doa Untukmu Rohingya bagi menyatakan rasa prihatin terhadap krisis kemanusiaan yang melanda rakyat Rohingya di Myanmar.

Menerusi acara yang berlangsung di Laman Santai Istana Budaya itu, Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), Tengku Khalidah Tengku Bidin berkata tarikh 1 Januari 2017 dipilih bagi menyemarakkan semangat tahun baharu dengan rasa prihatin terhadap kejadian yang menimpa saudara Islam di bumi Myanmar.

“Program yang bersifat kemasyarakatan ini adalah himpunan rasa yang bergulir dalam diri para seniman tanah air yang turut terkesan setelah melihat apa yang berlaku di Myanmar.

“Dalam kemelut yang belum berakhir, umat Islam Rohingya dibunuh dengan kejam, dirogol, dikelar dan dibiarkan kelaparan.

“Mereka turut berduka dan menangis atas nasib yang berlaku dan mereka saudara seagama kita,” katanya.

Program yang bermula sejak 2 petang hingga hampir tengah malam itu menyaksikan pelbagai aktiviti dipersembahkan antaranya bacaan puisi serta nyanyian lagu kemanusiaan dan kerohanian.

Acara disulam dengan ucapan, pertunjukan visual dan muzik, penerangan tentang keadaan di Rakhine, nyanyian lagu keagamaan dan kemanusiaan, serta deklamasi puisi.

Lebih menarik, sejumlah 100 karya puisi hasil karya rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat telah dipilih untuk disampaikan oleh selebriti popular tanah air serta tetamu kenamaan seperti Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani; Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah; Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.


WHAM juga merancang untuk menghimpunkan penyertaan karya-karya terpilih itu untuk dibukukan.

Sepanjang tempoih 10 jam acara itu berlangsung, pihak penganjur merekodkan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung.

Golongan selebriti ternyata memberi impak kepada sambutan hebat program itu. Antara yang hadir memberi sokongan dan mendeklamasi puisi ialah selebriti terkenal seperti Erra Fazira, Amy Search, Izzue Islam, Sahara Yaacob, Janna Nick, Rozita Che Wan, Tasha Shila, Johan As'ari, Zain Saidin dan Aiman Tino.

Turut menyertai acara deklamasi puisi melalui tayangan video di skrin gergasi antaranya ialah Datuk Siti Nurhaliza, Rita Rudaini, Neelofa dan Alyah.

Selain itu, penyanyi seperti Aizat Amdan, Sarah Raisuddin, Azharina, Zaiton Sameon, To'Ki, juga menghiburkan tetamu dengan persembahan nyanyian masing-masing.

Program itu juga menyaksikan pelbagai persembahan diadakan seperti teater, nasyid dan busking selain jualan makanan food truck.

Selain para seniman, program itu turut menarik penyertaan go­longan sasterawan seperti Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin dan Zainal Rashid Ahmad.