International Law Book Services (ILBS), sebuah syarikat penerbitan buku, hari ini mencadangkan kepada kerajaan supaya memansuhkan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi semua jenis buku.

Pengerusi dan Pengarah Urusan Kumpulan ILBS, Datuk Syed Ebrahim Mohd Esmail berkata cadangan itu dibuat berikutan keputusan kerajaan menetapkan semua buku teks pelajar, buku rujukan, buku kerja serta buku agama, ensiklopedia dan kamus dikategorikan berkadar sifar GST.

Bagaimanapun, katanya buku bacaan umum termasuk karya fiksyen dikenakan GST dan mendakwa sebilangan daripada buku-buku itu dijadikan buku rujukan dan teks pengajian sama ada di peringkat sekolah atau institusi pengajian tinggi (IPT).

Dalam kenyataan di sini hari ini, Syed Ebrahim berkata oleh kerana sukar untuk menentukan spesifikasi secara lengkap bagi kategori buku-buku berkenaan serta menimbulkan kekeliruan maka adalah lebih praktikal untuk kerajaan mengecualikan semua jenis buku daripada dikenakan GST.

Sebagai syarikat yang terlibat dalam penerbitan buku undang-undang, saya keliru kerana tidak dinyatakan secara spesifik kategeori bagi buku undang-undang, katanya.

Beliau berkata selain buku undang-undang menjadi rujukan pengamal undang-undang dan masyarakat umum, buku-buku itu juga menjadi teks rujukan terutama di IPT.

"Oleh itu buku-buku dalam kategori ini tidak perlu dikenakan cukai," katanya.

Katanya pengecualian GST ke atas buku penting bagi menyokong dasar dan Kempen Gerakan Membaca yang dianjurkan kerajaan selama ini selain bertepatan dengan dasar kerajaan yang mengutamakan bidang pendidikan.