Seorang wanita yang sarat mengandung 37 minggu dan menjadi suspek jangkitan novel koronavirus selamat melahirkan seorang bayi lelaki di sebuah hospital di Wuhan, China pada Selasa.

Menurut Timbalan Pengarah Jabatan Ostetrik dan Ginekologi Wuhan Union Hospital, Zhao Yin, wanita berusia 27 tahun itu terpaksa melahirkan bayinya menerusi pembedahan caesarean.

"Ketumpatan oksigen dalam darah mangsa tidak begitu baik, jadi dia tidak boleh melahirkan bayinya seperti biasa," kata Zhoa Yin.

Tambahnya, bayi lelaki seberat 3.1 kilogram itu berada dalam keadaan sihat ketika dilahirkan.

BACA: Koronavirus: Angka korban meningkat, 106 disahkan maut di China

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Hati-hati dengan wabak koronavirus!

Wanita warganegara China itu disyaki dijangkiti novel koronavirus selepas mengalami simptom seperti demam dan batuk ketika ditahan dan kini ditempatkan di wad pengasingan di hospital berkenaan.

Seramai 4,409 mangsa disahkan positif koronavirus di China, manakala 75 lagi mangsa di 19 buah negara.

Sehingga kini, 107 mangsa maut akibat virus misteri itu.