ISTANBUL: Pengarah Eksekutif Wanita Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) Sima Bahous pada Ahad membangkitkan kesukaran yang dialami wanita di Gaza, sambil menekankan keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera di wilayah yang dikepung itu.

Menerusi hantaran di X, Bahous berkata wanita di Gaza terpaksa melahirkan bayi mereka tanpa kemudahan air, makanan, khemah atau tandas. Mereka juga hidup dalam keadaan yang sukar untuk digambarkan.

"Apa yang wanita di Gaza perlukan sekarang ialah gencatan senjata dan bantuan," katanya lapor Agensi Anadolu.



Serangan berterusan Israel sejak 7 Okt lepas mengakibatkan lebih 9,000 wanita di Gaza terbunuh manakala lebih 23,000 wanita cedera.

Nasib lebih 2,000 wanita hilang di Gaza pula masih belum diketahui.

Selain itu, sistem penjagaan kesihatan di Gaza yang lumpuh akibat serangan Israel mengakibatkan sekurang-kurangnya 60,000 wanita hamil tidak dapat mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan yang mengancam nyawa wanita Palestin dan bayi mereka.

Lebih 32,200 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel manakala lebih 74,500 lagi cedera serta menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

-- BERNAMA