KAHERAH: Usaha untuk mencapai gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza mendapat momentum pada Jumaat.

Ia selepas pejuang Hamas membuat cadangan semakan mengenai syarat perjanjian manakala Israel pula sahkan rundingan akan diteruskan minggu depan.

Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, ketua Agensi Perisikan Mossad kembali dari pertemuan awal dengan pengantara di Doha, Qatar dan rundingan akan diteruskan minggu depan.

Pejabat Netanyahu bagaimanapun memaklumkan, masih terdapat jurang antara kedua-dua pihak.

Terdahulu, sumber dalam pasukan perunding Israel berkata, kini terdapat peluang sebenar untuk mencapai persetujuan.

Kenyataan itu sangat berbeza dengan rundingan masa lalu dalam perang sembilan bulan di Gaza apabila Israel berkata, syarat yang dilampirkan oleh Hamas tidak boleh diterima.

Seorang pegawai Palestin yang rapat dengan usaha damai pengantara antarabangsa berkata, cadangan terbaharu pejuang Hamas itu boleh membawa kepada perjanjian rangka kerja jika dipersetujui Israel.

Beliau berkata, Hamas tidak lagi menuntut prasyarat komitmen Israel kepada gencatan senjata kekal sebelum menandatangani perjanjian dan akan membenarkan rundingan mencapainya sepanjang fasa enam minggu pertama.

Menurut pegawai itu lagi, sekiranya kedua-dua pihak memerlukan lebih banyak masa untuk memeterai perjanjian mengenai gencatan senjata kekal, kedua-dua pihak harus bersetuju tidak akan ada pertempuran sehingga mereka berbuat demikian.

Hamas kemudiannya berkata, pihaknya menolak kehadiran pasukan asing di Gaza menandakan penentangannya terhadap sebarang rancangan untuk menghantar kontinjen antarabangsa ke Semenanjung Gaza untuk membantu menjaga keamanan di kawasan Palestin.

Sementara itu, Hamas turut memaklumkan telah memberitahu HezbOllah mengenai persetujuan dengan cadangan gencatan senjata di Gaza.

Seorang pegawai Hezbollah berkata, jika ada perjanjian di Gaza, maka akan terdapat gencatan senjata di Lubnan.