GAZA: Agensi Kerja dan Bantuan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) memutuskan pada Ahad untuk menghentikan sementara penghantaran bantuan melalui lintasan Kerem Shalom, laluan utama untuk bantuan kemanusiaan masuk ke Gaza, disebabkan risiko keselamatan yang berterusan sepanjang laluan itu.

Pada 16 Nov, konvoi besar trak bantuan dirompak kumpulan bersenjata dan pada Sabtu, beberapa trak makanan turut dilarikan, menurut UNRWA dalam kenyataan di platform media sosial X, lapor Xinhua.

"Tanggungjawab untuk melindungi pekerja bantuan dan bekalan terletak pada Israel sebagai kuasa pendudukan. Mereka mesti memastikan aliran bantuan memasuki Gaza dengan selamat," katanya.

Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini dalam catatannya di X berkata, keputusan yang sukar ini dibuat pada masa kebuluran yang semakin memuncak di Gaza. "Penghantaran bantuan kemanusiaan tidak seharusnya berbahaya atau menjadi ujian," kata Lazzarini.

Di Gaza, operasi kemanusiaan menjadi hampir mustahil disebabkan oleh "sekatan berterusan, halangan daripada Israel, keputusan politik untuk mengehadkan jumlah bantuan, kekurangan keselamatan di laluan bantuan dan sasaran oleh polis tempatan," katanya lagi.

Sebuah Konvoi PBB yang membawa 109 trak berisi bekalan makanan "dirompak dengan ganas" pada 16 Nov selepas memasuki Gaza, dengan 97 trak dilarikan dan pemandu diancam dengan senjata untuk memunggah bantuan, menurut UNRWA.

Pada 18 November, Hamas mengumumkan 20 individu terbunuh dalam operasi keselamatan di timur Rafah, selatan Gaza. Operasi itu menyasarkan kumpulan dipercayai perompak trak bantuan yang memasuki Gaza. - BERNAMA-XINHUA

TAG: agensi PBB, Pelarian Palestin, UNRWA