ISTANBUL: Ukraine pada Isnin mendakwa 15 wilayah di negara itu terjejas akibat serangan udara oleh Rusia yang menyasarkan infrastruktur tenaga, lapor Agensi Anadolu.

"Sebanyak 15 wilayah terjejas hari ini akibat serangan besar-besaran Rusia. Musuh menggunakan pelbagai jenis senjata ... Terdapat mangsa cedera dan terkorban," kata Perdana Menteri Ukraine, Denys Shmyhal di Telegram.

Shmyhal juga mendakwa Rusia menggunakan pelbagai jenis dron dan peluru berpandu, menyebabkan pengendali grid tenaga Ukraine, Ukrenergo terpaksa memotong bekalan elektrik kecemasan untuk menstabilkan sistem tenaga negara.

Beliau turut menggesa rakan sekutu Ukraine untuk membenarkan penggunaan senjata jarak jauh terhadap kedudukan tentera lawan di Rusia.

Terdapat laporan mengenai letupan di beberapa wilayah Ukraine, termasuk ibu kota Kyiv sejak awal Isnin.

Tentera Udara Ukraine melaporkan pergerakan sejumlah besar dron Rusia di beberapa wilayah serta aktiviti 11 pengebom strategik Tu-22MS.

Amaran serangan udara dikeluarkan di seluruh negara, dengan pihak berkuasa tempatan dan media melaporkan bahawa letupan disebabkan sistem pertahanan udara memusnahkan dron Rusia.

Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko menerusi hantaran di Telegram memaklumkan gangguan bekalan elektrik dan bekalan air berlaku di beberapa daerah.

Sementara itu, pihak berkuasa tempatan di Lviv dan Rivne melaporkan serangan ke atas infrastruktur tenaga tempatan.

Rusia belum mengeluarkan kenyataan berhubung serangan terbaharu ke atas Ukraine.

-- BERNAMA