KYIV/MOSCOW: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky menyuarakan kesediaannya untuk menamatkan fasa "panas" konflik dengan Rusia sekiranya keanggotaan Ukraine dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dipercepatkan, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Interfax-Ukraine.

"Jika kita mahu menghentikan fasa panas peperangan, kita perlu meletakkan wilayah Ukraine yang berada di bawah kawalan kita di bawah naungan NATO. Kita perlu melakukannya dengan segera," kata Zelensky.

Beliau turut berkata bahawa wilayah yang kini dikuasai Rusia boleh diperoleh kembali melalui pendekatan diplomatik, dengan syarat jemputan NATO harus mengiktiraf sempadan Ukraine seperti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Zelensky menegaskan bahawa gencatan senjata diperlukan untuk memastikan Rusia "tidak kembali" merampas lebih banyak wilayah Ukraine.

Sementara itu, Kremlin tidak memberikan sebarang respons terhadap kenyataan Zelensky.

Leonid Slutsky, Ketua Jawatankuasa Hal Ehwal Antarabangsa Duma Rusia, melalui Telegram berkata, "Moscow tidak akan lagi membenarkan negara-negara Barat membekalkan senjata kepada Kyiv dengan berselindung di sebalik perjanjian."

Beliau menyeru ahli politik Ukraine supaya meninggalkan cita-cita mereka untuk menyertai NATO.

"Kyiv sedang berusaha untuk menyertai NATO. Ini adalah kunci untuk maju, bukan menamatkan perang. Idea untuk hentikan konflik juga tidak boleh diterima," katanya.

Pada Ahad, Kementerian Pertahanan Rusia melaporkan bahawa tentera Rusia membebaskan 88 penempatan di wilayah Donetsk, Lugansk, Zaporozhye, Kursk dan Kharkov sepanjang musim luruh 2024.

-- BERNAMA