LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK), Keir Starmer mengumumkan, kerajaan pimpinannya akan membenarkan Ukraine menggunakan 1.6 bilion pound dana kewangan eksport UK untuk membeli lebih daripada 5,000 peluru berpandu pertahanan udara.

Beliau berkata, peluru berpandu ini akan dihasilkan di Belfast, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor pertahanan UK.

Matlamat Starmer berbuat demikian ialah untuk meletakkan Ukraine dalam kedudukan yang lebih kukuh supaya mereka dapat berunding dari posisi yang lebih kuat.

Dalam masa sama, ketika berucap pada Sidang Kemuncak Ukraine di London, Starmer menegaskan, sebarang perjanjian baharu untuk menyokong Ukraine mesti disokong dengan kekuatan dan setiap negara perlu memainkan peranan mereka dengan mengambil tanggungjawab serta meningkatkan sumbangan masing-masing.

Perdana Menteri UK itu berkata pemimpin dalam sidang kemuncak telah bersetuju dengan empat langkah penting:

• Menyalurkan bantuan ketenteraan secara berterusan kepada Ukraine selagi perang masih berlanjutan dan meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Rusia.

• Sebarang keamanan yang berkekalan mesti menjamin kedaulatan dan keselamatan Ukraine, serta Ukraine mesti terlibat dalam sebarang rundingan damai.

• Jika perjanjian damai dicapai, pemimpin Eropah akan memastikan tiada pencerobohan baharu oleh Rusia ke atas Ukraine.

• Akan ada "pakatan negara yang bersedia" untuk mempertahankan Ukraine dan menjamin keamanan di negara itu.

Starmer turut memberitahu, negara-negara yang bersedia membantu akan mempercepatkan perancangan dengan segera, sebelum mengulangi komitmen UK untuk menyokong usaha ini dengan “tentera di darat dan pesawat di udara.”

“Eropah mesti memainkan peranan yang lebih besar,” katanya.

Namun, beliau menegaskan, perjanjian ini memerlukan sokongan daripada AS.

“Biar saya jelaskan, kami bersetuju dengan (Donald) Trump mengenai keperluan mendesak untuk keamanan yang berkekalan. Sekarang, kita perlu merealisasikannya bersama-sama,” jelas Starmer lagi. - Agensi