ANKARA: Turkiye umum akan memindahkan rakyatnya dari Lubnan pada Rabu melalui laluan laut berikutan pengeboman Israel di negara itu yang semakin meningkat.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Turkiye, dua kapal tentera laut Turkiye dijadualkan bertolak ke Beirut pada Selasa sebagai sebahagian daripada operasi berkenaan.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua kapal mempunyai kapasiti gabungan kira-kira 2,000 penumpang.

Butiran pemindahan juga akan disampaikan kepada warga yang telah menghubungi pusat panggilan konsulat.

Jika perlu, usaha pemindahan akan diteruskan dalam beberapa hari berikutnya, menurut kementerian itu.

Ia turut memaklumkan bahawa kapal berkenaan akan membawa bantuan kemanusiaan ke Lubnan.

Tentera Israel menjalankan kempen udara di Lubnan, yang dinamakan "Arrows of the North", sejak 23 September sebagai tindak balas terhadap ketegangan yang semakin memuncak dengan Hezbollah, menandakan peningkatan permusuhan yang ketara.

Hezbollah dan pasukan Israel saling berbalas tembakan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel sejak 8 Oktober 2023, mencetuskan kebimbangan konflik yang lebih luas ketika perang antara Hamas dan Israel terus berlanjutan di Semenanjung Gaza.