"Rakyat di Lubnan dinasihatkan supaya berhati-hati dan mengelak perjalanan ke kawasan Nabatieh, Selatan Lubnan, Bekaa dan Baalbek-Hermel kecuali jika benar-benar perlu," lapor Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan Kementerian Luar Turkiye.
Kementerian itu juga menasihatkan rakyatnya untuk meninggalkan Lubnan "jika kehadiran mereka tidak penting" sementara penerbangan komersial masih tersedia.
Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Luar Itali Antonio Tajani menggesa rakyat Itali di Lubnan untuk mengelakkan kawasan selatan dan pulang ke tanah air melalui penerbangan komersial dalam satu kenyataan di X.
Kementerian Luar Indonesia turut menasihatkan rakyatnya tidak melakukan perjalanan ke Lubnan, Iran dan Israel, serta mengesyorkan mereka segera meninggalkan Lubnan dan meningkatkan kewaspadaan.
Ketiga-tiga negara itu menyatakan kebimbangan keselamatan berikutan keadaan yang semakin merosot di rantau berkenaan.
Terdahulu pada hari itu, Kedutaan Perancis di Beirut menggesa rakyat Perancis untuk meninggalkan Lubnan secepat mungkin.
Pada Sabtu, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) memberi amaran kepada rakyat mereka supaya meninggalkan Lubnan serta-merta, memetik kebimbangan mengenai peningkatan konflik yang lebih meluas dengan Israel.
Ketegangan antara kumpulan Hezbollah Lubnan dan Israel telah meningkat sejak Tel Aviv membunuh komander tentera kanan, Fuad Shukr, dalam serangan udara di pinggir selatan Beirut pada Selasa.
Keesokan harinya, ketua politik Hamas Ismail Haniyeh telah dibunuh di ibu negara Iran, Tehran didakwa oleh Israel, walaupun Tel Aviv belum mengesahkan atau menafikan bertanggungjawab.
-- BERNAMA