BANGKOK: Sekurang-kurangnya 32 orang cedera ketika penunjuk perasaan antikerajaan bertembung dengan polis berhampiran Istana Besar di Bangkok pada malam Sabtu.

Protes antikerajaan di Bangkok itu berubah menjadi ganas ketika polis melepaskan tembakan meriam air, gas pemedih mata dan peluru getah bagi menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di Sanam Luang atau dikenali sebagai Royal Field, berdekatan Istana Besar.

Menurut Pusat Perkhidmatan dan Perubatan Erawan di Bangkok, mangsa yang cedera termasuk 12 anggota polis.

Sementara itu, Timbalan Komander Polis Metropolitan Mejar Jeneral Piya Tavichai berkata 20 orang ditahan kerana melanggar peraturan perhimpunan awam di bawah Dekri Darurat.

Beliau berkata, tindakan polis itu selari dengan standard piawaian antarabangsa.

"Polis bertanggungjawab melindungi harta benda awam dan menegakkan undang-undang," katanya pada sidang media pada Ahad.

Media tempatan melaporkan terdapat beberapa wakil media cedera semasa tunjuk perasaan itu berlaku, malam sebelumnya.

Penunjuk perasaan antikerajaan berkumpul di Sanam Luang pada malam Sabtu, meminta polis untuk membebaskan pemimpin penunjuk perasaan yang telah didakwa di bawah Seksyen 112 Kanun Keseksaan undang-undang negara itu, yang juga dikenali sebagai 'lese-majeste', kerana menghina keluarga diraja Thailand.

Tunjuk perasaan itu juga berlaku disebabkan kegagalan Parlimen meluluskan rang undang-undang minggu ini untuk meminda Perlembagaan negara.

Sejak pertengahan Julai tahun lepas, penunjuk perasaan antikerajaan melakukan demonstrasi di Bangkok dan kota-kota lain, mengulangi tuntutan mereka terhadap perubahan politik, termasuk menggesa agar perdana menteri meletakkan jawatan, pembubaran Parlimen, membuat pindaan Perlembagaan dan reformasi monarki.

-- BERNAMA