KARACHI (Pakistan): Sekurang-kurangnya tujuh anggota pasukan separa tentera terbunuh, manakala 43 lagi cedera dalam satu insiden disyaki serangan bom berani mati di barat daya Pakistan pada Ahad, lapor Anadolu Ajansi.

Serangan itu menyasarkan konvoi Pasukan Kor Sempadan, pasukan keselamatan separa tentera, di daerah terpencil Noshki, Wilayah Balochistan yang bersempadan dengan Afghanistan dan Iran, menurut akhbar Balochistan Express yang memetik kenyataan seorang pegawai polis.

Ketua Polis Daerah Zafarullah Sumalani berkata siasatan awal menunjukkan kemungkinan insiden itu merupakan serangan berani mati.

Bukti di lokasi kejadian mencadangkan seorang penyerang berani mati merempuh konvoi Kor Sempadan menggunakan sebuah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan.

Dalam satu kenyataan, Menteri Dalam Negeri Pakistan Mohsin Naqvi mengesahkan serta mengutuk serangan itu.

Pegawai bimbang angka korban meningkat kerana beberapa mangsa yang dirawat di Hospital Awam Noshki dilaporkan dalam keadaan kritikal.

Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu.

Rakaman yang disiarkan oleh stesen penyiaran tempatan Geo News menunjukkan sebuah bas yang rentung di tepi jalan dengan anggota tentera berada di sekelilingnya.

Ketua Menteri Balochistan Sarfraz Bugti turut mengecam serangan itu dan menyatakan kesedihan atas kehilangan nyawa mangsa.

"Mereka yang mengganggu keamanan Balochistan akan menerima akibat yang tragis," katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Pakistan berdepan gelombang keganasan baharu yang menyasarkan beberapa bahagian di Wilayah Balochistan dan Khyber Pakhtunkhwa.

-- BERNAMA