Profesor Institut Pengajian Siswazah UPTM, Prof Datuk Rashila Ramli berkata, ia berdasarkan rekod prestasinya pada penggal pertama pentadbirannya sebelum ini.
Jelas Rashila, terdapat kecenderungan Trump bakal mengurangkan perbelanjaan, selain penegasan terhadap prinsip bilateral seperti yang dipegang sebelum ini.
“Mungkin tak perlu lagi membiayai projek yang besar contohnya pembiayaan untuk (perang) di Ukraine atau mungkin kepada NATO (Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara) kerana AS adalah penyumbang terbesar.
“Satu lagi perkara, Trump lebih bilateral, bermakna dia suka hubungan satu persatu dengan ketua-ketua negara lain. Duduk berbincang, cari konsesi, itu bukan cara dia,” katanya ketika muncul dalam Agenda AWANI, pada Rabu.
Dengan Malaysia bakal mempengerusikan ASEAN tahun hadapan, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Aira Azhari berkata, kebimbangan utama adalah sikap skeptikal Trump terhadap institusi multilateral.
“Trump bukan Presiden yang memperjuangkan institusi multilateral dan diplomasi seperti Presiden sebelum ini.
“Presiden-presiden sebelum ini juga tak sempurna tapi sistem multilateral yang mentadbir politik dan diplomasi dunia masih dihormati AS,” katanya.
Tambahnya lagi, Malaysia perlu melihat dengan lebih teliti berkenaan isu perdagangan yang dijangka membawa implikasi terbesar, terutama dalam aspek tarif barangan import.
“Perdagangan adalah satu aspek yang Malaysia perlu beri tumpuan dalam tempoh empat tahun ini.
“Ia tentang bagaimana kitab oleh ambil peluang, kalau saya boleh panggil perang dingin antara AS dan China,” katanya lagi.
Trump juga dijangka membawa dasar lebih tegas berhubung persaingan perdagangan dengan China, termasuk isu membabitkan Laut China Selatan dan hal ini memerlukan Malaysia meneliti dan membuat persediaan untuk menghadapinya.