SEPASANG suami isteri, Yelena Borodin dan Peter hampir tidak percaya selepas melihat seorang lelaki ditembak di hadapan motel mereka di Christchurch di New Zealand pada Jumaat.

Mangsa yang kemudiannya dikenal pasti sebagai Muhammad Amin Nasir, 69, ditembak oleh seorang pengganas warga Australia semasa Yelena sedang menikmati makanan tengah hari.

“Saya sedang makan tengah hari apabila tiba-tiba terdengar bunyi bising. Saya berlari keluar dan ternampak seorang lelaki bersenjata di luar.

“Peluru tembakan menembusi tingkap dan dinding bilik kosong di motel saya tidak jauh dari tempat saya berdiri sebelum seorang lelaki terbaring di atas lantai dalam keadaan berdarah.

“Ketika itu dia masih hidup. Saya nampak penembak itu mahu menembak mangsa sekali lagi, tetapi mungkin kehabisan peluru, dia terus pergi,” katanya kepada Stuff.co.nz.

Motel berkenaan terletak kurang 50 meter dari Masjid Al Noor, yang merupakan lokasi pengganas, Brenton Tarrant membunuh puluhan jemaah semasa hendak menunaikan solat Jumaat sebelum suspek beralih ke masjid di Linwood.

Ekoran daripada kejadian itu, Yelena dan Peter masih lagi terkejut dengan insiden tembakan berkenaan yang tidak pernah berlaku di New Zealand.

BACA: Tragedi solat Jumaat: Aziz dianggap wira halang lebih banyak kematian

BACA: Keganasan tidak ada kaitan dengan permainan PUBG - Syed Saddiq


“Mungkin ada malaikat yang menjaga saya pada hari Jumaat. Sebaik polis tiba, mereka menunjukkan betapa hampirkan lokasi saya daripada ditembak. Ia berlalu terlalu pantas.

“Ia tidak sepatutnya berlaku kepada orang-orang begitu yang sering sembahyang di masjid,” kata mereka.

Pasangan berkenaan mula menguruskan motel mereka sejak empat tahun lalu dan telah tinggal di Christchurch lebih 20 tahun.

Kata Peter, lelaki itu lalu setiap hari di depan motelnya meskipun mereka tidak begitu mengenali antara satu sama lain.

“Dia baik. Ia tidak sepatutnya berlaku ke atas lelaki itu yang lalu di hadapan motel kami setiap hari tanpa gagal melambaikan tangannya ke arah kami,” kata Peter.

Nasir dipercayai merupakan mangsa terakhir ditembak di kawasan sekitar masjid di Deans Ave.

Dalam pada itu, ketika kejadian, Nasir sedang berjalan bersama anaknya, Amin yang merupakan penganalisis di majlis perbandaran di Christchurch.

“Kami nampak dia memegang senjata dan kami terus melarikan diri. Selepas beberapa tapak, saya menoleh ke belakang ke arah bapa saya dan meminta dia supaya berbaring.

“Tapi pada waktu itu, dia sudah pun terbaring dengan berlumuran darah. Saya menangis sambil menjerit ‘tolong selamatkan ayah saya’.

“Saya tidak pernah menyaksikan insiden tembak menembak. Ini sungguh memeranjatkan,” katanya pada Sabtu.

Setakat ini, pihak berkuasa New Zealand mengesahkan 50 maut dalam serangan pengganas di dua masjid di Christchurch ketika penganut Islam ingin menunaikan solat Jumaat dan lebih 20 orang dilaporkan cedera.