AMMAN: Ramadan Al Mubarak yang disambut di Jordan pada Ahad dirai oleh warganya dengan penuh kegembiraan dan keriangan.
Rumah, lorong, jalan raya dan masjid tidak kira di bandar atau kampung dihiasi 'Fanous' Ramadan atau tanglung tradisi dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz.
Institut dan pertubuhan kebajikan turut berlumba-lumba mendirikan khemah Ramadan, bagi menyediakan hidangan berbuka kepada golongan memerlukan.
Seorang wanita tempatan Umm Ali Al-Bitawi, yang ditemui Agensi Berita Qatar (QNA) menyifatkan Ramadan sebagai bulan ibadah yang datang bersama ritual, adat dan tradisi warisan nenek moyang.
"Sama ada (warisan itu) berupa sosial, keagamaan ataupun juadah-juadah istimewa yang menghiasi meja berbuka (puasa)", katanya.
"Paling dinanti adalah amalan 'Musakabah'. Walaupun masih diamal hingga kini, ia tidak semeriah dulu", ujarnya.
Tradisi 'Musakabah' atau secara literalnya 'saling menuang' ibarat amalan saling menuangkan air atau menghidangkan juadah yang dikongsi sesama jiran pada bulan Ramadan.
"Semua gara-gara 'bufet' terbuka", selorohnya sambil menambah itu tidak menjadi masalah kerana tujuan penyediaannya sama, iaitu meningkatkan keakraban, kasih sayang dan perpaduan.
Mengimbau kenangannya, Umm Ali menjelaskan dahulu sementara para suami dan lelaki menuju masjid untuk berterawih, golongan wanita biasanya akan bertandang ke rumah jiran atau saudara-mara.
"Sekarang seisi keluarga pergi dengan kereta keluar pada malam Ramadan di jalanan dan kafe popular, atau hanya duduk di rumah menghadap skrin televisyen", katanya.Tambahnya, hidangan berbuka dan sahur juga turut berubah mengikut gaya hidup terkini.
Jika dulu beberapa biji kurma, tomato, sup 'Rashoof' atau kuah kacang dhal, selain 'Lazakiyat' dan 'Al-Mutabaq' (kedua-duanya sejenis roti atau pastri Arab) sudah cukup melengkapi hidangan berbuka.
"Mudah dan murah," kata Umm Ali.
Kini menurutnya, meja Ramadan dipenuhi pelbagai jenis dan bentuk juadah. Kurma dan air biasanya dijamah sebelum memulakan solat Maghrib.
Usai bersolat, 'acara' makan dimulakan dengan sup yang biasanya terdiri daripada sayur-sayuran segar dan 'Shu-'airia' (seakan bihun), serta variasi salad. Hidangan utama selalunya berupa nasi berlauk daging atau ayam selain beberapa pembuka selera lain seperti 'Fatteh Hummus' dengan daging cincang dan acar, diikuti 'Musakhan' iaitu roti pipih yang dihidang bersama bawang karamel dan ayam goreng sumac.
Menyentuh hidangan berbuka warga ibu kota Amman pula, Ummu Ali menjelaskan bahawa warga Jordan sentiasa memelihara kepelbagaian jenis juadah tradisi mereka.
"Di setiap rumah pastinya akan ada satu. Mungkin yang paling menonjol adalah 'Maqlouba', 'Mansaf', Ayam 'Musakhan', 'Maftoul', 'Mahashi', dan banyak lagi hidangan tradisional", katanya.
Beliau menegaskan bahawa amalan 'Al-Masharati' masih merupakan budaya paling menonjol pada bulan Ramadan di Jordan.
'Al-Masharati' merupakan amalan tradisi yang dilakukan oleh sekumpulan lelaki yang dilantik oleh ketua kejiranan atau imam masjid untuk mengejutkan orang ramai bangun bersahur, dengan menggunakan alat bunyian berupa gendang lama.
Setiap malam mereka menyusuri lorong dan laluan taman perumahan, sambil mengetuk gendang dan selalunya akan disertai beberapa kanak-kanak yang melaungkan: 'La ila ha iIlallah... Bangunlah, wahai yang tidur'.
Pada hari-hari terakhir Ramadan, 'Al-Masharati' biasa akan mengulangi beberapa lafaz perpisahan kepada bulan suci ini.
Sementara itu, Ziyad Al-Nashef (penduduk kota Amman) memberitahu QNA bahawa beliau dan keluarga biasanya menghiasi rumah mereka seminggu sebelum kedatangan Ramadan.
"Ia telah menjadi keriangan bermusim, terutama untuk kanak-kanak", ujarnya.
Ibarat upah kerana berjaya menjalani ibadah puasa, kanak-kanak diberi wang saku untuk membeli 'Fanous' dan lampu kelap kelip pelbagai bentuk untuk digantung menghiasi lorong kejiranan dan bangunan kediaman.
Warna warni biasan lampu 'Fanous' sangat menarik dan indah, terutama pada waktu malam.
Bagi Ahmed Al-Waqfi, beliau memuji penyediaan khemah Ramadan yang menjadi tumpuan ramai selepas solat Terawih.
"Di situ ada kurma, kopi Arab dan jus Ramadan.. ada 'Qatayef' dan 'Awamah' juga", katanya.
Khemah Ramadan juga digunakan untuk penyediaan acara 'iftar jamaie' (berbuka beramai-ramai) yang menghidangkan pelbagai juadah tajaan para dermawan untuk gelandangan, fakir miskin, balu dan anak-anak yatim.
Terdahulu, Kerajaan Jordan mengumumkan pelancaran kempen 'Ramadaniyat', menerusi penganjuran acara sukan, kebudayaan, pelancongan dan sosial semasa bulan suci Ramadan.
Kempen yang bertujuan menghidupkan semula tradisi Ramadan itu diadakan dengan kerjasama beberapa kementerian antaranya Kementerian Pelancongan dan Warisan, Kementerian Belia dan Kementerian Pembangunan Masyarakat.
Ia juga sebagai usaha untuk menonjolkan produk kebudayaan Jordan, selain menjadikan warisan itu kekal tersedia untuk generasi baharu.
-- BERNAMA
Bernama
Sat Apr 09 2022
Suasana malam pertama Ramadan di sebuah bandar di ibu kota Amman, Jordan. - Foto BERNAMA
Kerajaan teliti kaedah baharu lantikan tetap, pastikan kewangan negara lebih mampan
Kerajaan sedang meneliti kaedah baharu lantikan tetap bagi memastikan pengurusan kewangan negara yang lebih mampan.
PDRM gerak unit skuba forensik, K9 cari telefon, rantai Nur Farah Kartini hari ini
Proses mencari bahan bukti akan dimulakan sekitar jam 9 pagi di kawasan parit berhampiran ladang kelapa sawit berkenaan.
Bangkai pesawat MH17 tanpa sayap imbau kekejaman tragedi menyayat hati
Keadaan serpihan pesawat MH17 Malaysia Airlines (MAS) yang cuba dibina semula tanpa sayap, tayar, ekor dan tempat duduk penumpang cukup menggerunkan sekali gus mengingatkan pada kekejaman yang meragut
VOP akan diselesaikan dalam tempoh sebulan - Ahmad
Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP) susulan penyasaran subsidi diesel dijangka diselesaikan dalam tempoh sebulan lagi, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
Industri minyak sawit disaran guna semula sisa untuk bahan api penerbangan mampan - Liew
Industri minyak sawit perlu mengkaji penggunaan semula sisa sebagai stok suapan penting untuk bahan api penerbangan mampan (SAF), di luar penggunaan tradisional minyak sawit.
SDG: UTP lahir pelajar berkemahiran, tinggi tanggungjawab sosial
UTP berhasrat mendidik pelajar bukan sahaja untuk mahir dalam aspek teknikal tetapi juga untuk menjadi warganegara yang bertanggungjawab.
MAA semak semula unjuran jualan kenderaan 2024 kepada 765,000 unit
Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah menyemak semula unjuran jualan kenderaan bermotor baharu bagi 2024 kepada 765,000 unit daripada anggaran sebelumnya sebanyak 740,000 unit.
RUU 355: Pindaan perlu untuk praktikaliti, keadilan
Apa sahaja pindaan terhadap akta itu perlu berjalan selari dengan persediaan mereka yang bertanggungjawab melaksanakannya.
Rasionalisasi RON95 dijangka beri impak lebih besar kepada PKS - SAMENTA
SAMENTA menjangkakan rasionalisasi RON95 akan memberi impak yang lebih besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) berbanding pelarasan subsidi diesel.
Malaysia sasar pengeluaran 40 peratus sektor akuakultur menjelang 2030
Malaysia menyasarkan pengeluaran 40 peratus hasil sektor akuakultur menjelang 2030 dalam usaha membantu mengimbangi keperluan perikanan negara.
Tradisi Ramadan di Jordan tampilkan adat turun-temurun
Rumah, lorong, jalan raya dan masjid dihiasi 'Fanous' Ramadan atau tanglung tradisi dalam pelbagai warna, bentuk dan saiz.