TOKYO: Kerajaan metropolitan Tokyo melancarkan aplikasi janji temu baharu untuk telefon pintar yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi memadankan individu yang serius mengenai perkahwinan berdasarkan nilai mereka, lapor Agensi Berita Kyodo.

Tokyo Enmusubi yang bermaksud jodoh Tokyo, tersedia untuk mereka yang berusia lebih 18 tahun yang tinggal atau berulang-alik ke ibu kota Jepun. Pengguna perlu menjalani temu duga dalam talian semasa pendaftaran, dan mereka juga mesti mengemukakan pengenalan diri dengan gambar serta dokumen yang membuktikan pendapatan dan status bujang secara sah untuk memastikan keselamatan di platform.

Langkah itu adalah sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk meningkatkan kadar kelahiran yang semakin menurun di Jepun, dan kerajaan metropolitan Tokyo berhasrat menyediakan sokongan kepada individu bujang dan keluarga di pelbagai peringkat kehidupan mereka - daripada pertemuan awal hingga perkahwinan, kelahiran anak dan penjagaan anak.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi itu ke telefon pintar atau mengakses laman sesawang platform melalui komputer. Pendaftaran dikenakan bayaran 11,000 yen (US$77) dan keahlian sah untuk dua tahun.

Teknologi AI perkhidmatan itu akan mencadangkan potensi pasangan berdasarkan penilaian terhadap 110 soalan.

Pengguna juga boleh mencari pasangan berdasarkan ciri yang mereka inginkan.

-- BERNAMA