VIENNA: Penganjur tiga konsert Taylor Swift di Vienna minggu ini umum membatalkan persembahan itu sepas pihak berkuasa mengumumkan penangkapan individu yang merancang melancarkan serangan di Vienna.

Swift dijadualkan beraksi di Stadium Ernst Happel ibu negara Austria pada hari Khamis, Jumaat, dan Sabtu sebagai sebahagian daripada konsert jelajahnya.

Penganjur acara, Barracuda Music dalam hantaran di Instagramnya pada Rabu memaklumkan, pihaknya tiada pilihan selain membatalkan tiga pertunjukan yang dijadualkan atas faktor keselamatan.

Awal Rabu, pihak berkuasa Austria mendedahkan telah menahan dua suspek ekstremis, salah seorang daripadanya didakwa merancang serangan ke atas acara di kawasan Vienna seperti konsert yang akan datang.

Suspek utama berusia 19 tahun itu ditahan di Ternitz, selatan Vienna sementara suspek kedua di ibu negara Austria itu.

Pengarah Keselamatan Awam di Kementerian Dalam Negeri Austria, Franz Ruf berkata, pihak berkuasa menyedari "tindakan persediaan" untuk kemungkinan serangan "dan juga bahawa wujudnya sasaran oleh pelaku berusia 19 tahun terhadap konsert Taylor Swift di Vienna," lapor Agensi Akhbar Austria.

Ruf berkata, lelaki berusia 19 tahun itu telah mengangkat sumpah taat setia kepada kumpulan militan.

Warga Austria itu juga dipercayai telah menjadi radikal di internet. - Agensi