BANGKOK: Kementerian Kesihatan Awam Thailand sedang melakukan kajian mengenai suntikan vaksin COVID-19 'booster' (penggalak) untuk kumpulan yang telah divaksin tetapi terdedah kepada risiko, khususnya petugas barisan hadapan, berikutan kebimbangan penularan varian Delta.

Penasihat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr. Udom Kachintorn berkata kajian itu sedang mempertimbangkan untuk memberikan vaksin Messenger RNA (mRNA) sebagai suntikan booster.

Bagaimanapun, ujar timbalan jurucakap Kementerian Luar Natapanu Nopakun, kajian itu masih diteliti untuk memastikan suntikan vaksinasi ketiga adalah yang paling selamat dan berkesan.

"CCSA dan Kementerian Kesihatan Awam ingin menegaskan bahawa keselamatan petugas barisan hadapan adalah paling utama dalam perjuangan ini," kata Natapanu semasa taklimat harian COVID-19 di sini.

Reuters melaporkan, dokumen kementerian kesihatan yang bocor menyatakan Thailand memanggil petugas kesihatan yang telah divaksin untuk menerima suntikan vaksin mRNA sebagai booster dan langkah itu dilihat boleh menjejaskan keyakinan masyarakat terhadap vaksin Sinovac-Biotech China.

Menurut laporan itu memo dalaman yang mengandungi pelbagai pandangan itu dilaporkan oleh media tempatan dan tular di media sosial.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kesihatan Awam Anutin Charnvirakul mengesahkan kesahihan memo itu sebaliknya pegawai kanan kesihatan Dr Opas Karnkawinpong menafikannya.

Setakat ini, sejumlah 11.06 juta individu telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 di Thailand. Sebanyak 3.04 juta individu sudah lengkap divaksin manakala 8.02 juta individu menerima dos pertama sejak kempen vaksinasi dilancarkan 28 Februari lalu.

Thailand bergantung pada vaksin COVID-19 Sinovac dan AstraZeneca yang dihasilkan dalam negara dengan satu lagi vaksin alternatif China keluaran Sinopharm.

Bangkok dijadual menerima 1.5 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech sumbangan Amerika Syarikat bulan ini, selain bakal memperoleh 20 juta lagi dos vaksin dijangka dihantar tahun ini.

Vaksin COVID-19 Moderna untuk pembeli swasta pula dijangka tersedia pada suku ketiga tahun ini.

-- BERNAMA