BANGKOK:
Kementerian Luar Thailand akan menganjurkan dua mesyuarat serantau minggu ini bagi membincangkan pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) berhubung krisis yang sedang berlaku di Myanmar.

Jurucakap Kementerian Luar Thailand Nikorndej Balankura berkata Menteri Luar Thailand Maris Sangiampongsa akan mengetuai perbincangan semasa Sesi Perundingan Tidak Rasmi Lanjutan bersama negara anggota ASEAN yang berminat di peringkat Menteri Luar.

"Mesyuarat ini bertujuan untuk menangani pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar dan merancang hala tuju seterusnya," kata Nikorndej dalam satu video yang dikongsi oleh kementerian pada Isnin.

Beliau berkata sebelum ini, Perundingan Tidak Rasmi yang melibatkan pengerusi ASEAN semasa, terdahulu dan yang akan datang juga dirancang untuk diadakan bagi membincangkan kemajuan 5PC.

Konsensus Lima Perkara yang diterima pakai pada April 2021 termasuk desakan agar keganasan di Myanmar dihentikan dengan segera, dialog inklusif antara semua pihak dan bantuan kemanusiaan.

Mesyuarat yang dijadualkan pada 19 dan 20 Dis ini diadakan susulan tawaran Thailand pada Oktober lepas untuk menganjurkan perbincangan tidak rasmi bagi mencari penyelesaian krisis Myanmar, yang bergolak sejak tentera merampas kuasa dalam satu rampasan kuasa pada 2021.

Selain negara anggota ASEAN, wakil dari negara jiran Myanmar termasuk China, India, Bangladesh, Laos dan Thailand, juga akan turut serta.

Namun, masih belum jelas sama ada Myanmar akan menghantar sebarang wakil rasmi ke mesyuarat yang akan datang ini.

-- BERNAMA