Media Barat sering mengaitkan setiap aktiviti keganasan oleh organisasi seperti Al-Qaeda dan ISIS dengan seruan jihad.
Jihad telah dijadikan senjata berkesan dalam menyemarakkan panggilan DAESH misalnya untuk berjuang dalam 'memerangi orang kafir'.
Bagaimana pula perspektif orang bukan Islam terhadap jihad? Saya terpanggil untuk menghadiri misa Ahad lalu anjuran All Souls Unitarian Church, Tulsa.
Gereja ini membawa gerakan agama yang liberal berakar umbi dari cabang Kristian iaitu Universalisme dan Unitarianisme. Misa kali ini diberikan tajuk “American Jihad” dan telah mengundang perbualan yang hangat dalam kalangan pengguna media sosial di Tulsa.
Misa dimulakan dengan beberapa ucapan pendahuluan, ucapan terima kasih kepada wakil Islamic Society of Tulsa yang hadir dan nyanyian keagamaan.
Kemudian, seorang muazzin dari Masjid Al-Salam Tulsa dijemput untuk melaungkan azan. Inilah kali pertama saya saksikan azan dilaungkan di tempat ibadah bukan Islam.
Suasana berubah 360 darjah. Hadirin kelihatan tunduk senyap menghayati suara lunak azan sambil menghayati keamanan dan ketenteraman yang tiba-tiba meresap dalam jiwa segenap dewan.
Ada juga yang tekun membaca maksud azan tersebut dalam kepingan tentatif program yang diedarkan di pintu hadapan dewan. Saya tersenyum mengenangkan majlis berbuka puasa di sebuah gereja di Sarawak baru-baru ini yang turut membenarkan azan dilaungkan.
Selepas itu, Reverend Dr Marlin Lavanhar menyampaikan khutbah bertajuk “American Jihad”. Beliau membawa pendengar menelusuri sejarah di mana agama dijadikan alat menghalalkan peperangan dan pembunuhan demi menjayakan agenda politik.
Perjuangan penganut Kristian dalam Perang Salib berabad-abad lamanya menyaksikan pertumpahan darah yang direstui dan dipalu oleh pihak gereja.
Beliau mencela orang Kristian pada masa kini yang seolah-olah alpa akan sejarah pihak gereja menyebarkan propaganda mati di medan perang atas nama Kristus mampu menghapuskan dosa-dosa terdahulu dan dijanjikan syurga, lalu berhenti sejenak dan mengajukan soalan kepada hadirin, “...sounds familiar?”, yakni merujuk kepada doktrin pengganas Islam yang mengguna pakai konsep yang sama.
Dr Lavanhar turut mengajak hadirin merenung kembali asas penubuhan negara Amerika yang ditunjangi oleh penaklukan wilayah atas nama agama.
Beliau mendakwa pengasas negara, juga merupakan penganut Kristian yang taat, berkobar-kobar menubuhkan Amerika kerana mengganggapnya sebagai Jerusalem Baharu seperti yang termaktub dalam Buku Ezekiel.
Pemikiran retorik ini juga telah menghalalkan usaha penghapusan etnik pribumi bagi menjayakan misi penubuhan Tanah Yang Dijanjikan sebagai pengabdian kepada Tuhan.
Seterusnya beliau berpendapat, seperti mana agama-agama lain, Islam bukanlah agama yang mengajak kepada keganasan mahupun keamanan. Justeru, Islam tidak harus dipandang jelik seolah-olah agama tersebut merupakan satu-satunya ajaran yang menyuburkan fahaman terrorisme.
Bahkan beliau menambah bahawa Islam merupakan agama yang lebih progresif serta menyifatkan al-Quran sebagai istimewa. Walaupun terdapat beberapa ayat yang sangat keras menentang golongan kafir atau musyrik, al-Quran dianggap sebagai deklarasi agama pertama yang menganjurkan kebebasan beragama (Al-Baqarah, 256).
Sebagai perbandingan, Dr Lavanhar mengimbau kembali sejarah penaklukan Sepanyol oleh tentera Islam yang memberikan perlindungan kepada orang Yahudi dan Kristian, namun begitu berbeza dengan penaklukan semula tentera Katolik yang memberi kata dua iaitu sama ada dibaptis atau dibunuh.
Selain itu, al-Quran juga jelas mengehadkan peperangan hanya dibenarkan apabila diserang (Al-Haj, 39).
Tambahan pula dalam peperangan, Islam merupakan satu-satunya agama dalam susur galur agama Ibrahim yang menjelaskan etika berperang secara teliti seperti larangan membunuh wanita, kanak-kanak, orang tua dan mereka yang uzur, larangan merosakkan rumah ibadah agama lain, larangan membunuh binatang ternakan dan tanam-tanaman, dan sebagainya.
Oleh itu, beliau menambah jika benar organisasi pengganas moden pada hari ini mengaku sebagai penjunjung syiar Islam, betapa banyak sebenarnya larangan Tuhan telah mereka cabuli.
Sebelum mengakhiri ucapannya, beliau merungkai definisi jihad sebenar yang diamalkan oleh 1.6 bilion umat Islam di muka bumi ini. Bersandarkan hadis Rasulullah, beliau menerangkan pergelutan dalaman bagi memperbaiki diri adalah jihad utama yang wajib umat Islam hadapi, dan bukanlah berjuang di medan perang seperti yang dimomokkan di media massa.
Bahkan beliau menambah, dalam konteks masa kini, jihad rakyat Amerika seharusnya ialah mengawal daripada melihat diri mereka sebagai satu-satunya golongan terhebat, terbaik dan paling benar berbanding golongan lain yang mampu mengganggu gugat nilai kebebasan Amerika yang meraikan kepelbagaian.
Paling saya kagumi, Dr Lavanhar bersungguh-sungguh menyangkal imej Islam yang sinonim dengan keganasan secara terang-terangan kepada masyarakat bagi membasmi gerakan Islamofobia yang kian meningkat.
Terngiang-ngiang di benak fikiran saya kata-kata penutup beliau, “banyak yang kita boleh belajar dari Islam dan Muslim”.
Saya tunduk malu. Masakan tidak, saya sendiri tidak pernah berusaha untuk memahami ajaran agama lain dengan niat untuk belajar mengenai kelebihan mereka, melainkan mencari kepincangan ajaran mereka serta membuktikan kebenaran Islam yang sebenar-benarnya.
Sesungguhnya kita umat Islam harus berasa bertuah atas kemunculan golongan seperti Dr Lavanhar yang mampu berfikir secara kritis dan rasional.
Dalam konteks di Malaysia, ayuh letakkan diri kita pula di tempat orang bukan Islam dan pandanglah umat Islam di Malaysia dari perspektif luar.
Perhatikanlah gelagat umat Islam yang sibuk menakrif siapa kafir zimmi dan kafir harbi, menghakimi sesama sendiri berdasarkan penampilan diri dan bukannya ilmu aqli, memaksa orang lain menghormati hanya kerana mereka majoriti, menuntut orang lain meyakini apa yang mereka percayai dan mahukan negara ini bernafas Islami tetapi akhlak penyayang Nabi tidak diaplikasi.
Sebelum Ramadan melabuhkan tirainya, tepuk dada dan tanyalah diri, adakah Islam itu agama yang ingin dipelajari atau dijauhi?
Reeza Redzuan Rosnan
Tue Jul 05 2016
Wakil Islamic Society of Tulsa dijemput melaungkan azan di All Souls Unitarian Church - Foto Astro AWANI/Reeza Redzuan Rosnan
KUIPs dinaik taraf jadi Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hari ini mengumumkan KUIPs kini dinaik taraf menjadi Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin.
Waran tangkap Netanyahu: Tun Mahathir sokong keputusan ICC
Tun Dr Mahathir Mohamad menyokong keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.
Majlis Perasmian Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM)
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir Majlis Perasmian Program 2 Tahun Kerajaan Madani (2TM) & Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen KLCC.
Amaran hujan berterusan tahap waspada di enam negeri hingga 29 Nov
MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kelantan, Terengganu dan Pahang hingga 29 Nov.
AWANI Ringkas: Apa jadi kes Faisal Halim?
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan sepanjang hari di Astro AWANI menerusi AWANI Ringkas.
4 anggota pengaman Itali cedera serangan roket di pangkalan UNIFIL di Lubnan
Empat tentera Itali cedera, namun tidak parah, selepas pangkalan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) di Lubnan diserang dengan tembakan roket pada Jumaat.
BAM lantik Kenneth Jonassen ketua jurulatih baharu perseorangan kebangsaan
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) umum pelantikan Kenneth Jonassen dari Denmark sebagai ketua jurulatih perseorangan negara yang baharu.
Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen USAS ke-17
Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat ke Istiadat Konvokesyen Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) ke-17 hari ini.
Nelayan jatuh laut ditemui lemas di Pulau Ketam
Seorang nelayan berusia 59 tahun ditemukan lemas di kedudukan 8.1 batu nautika barat daya Pulau Ketam, semalam.
Kepimpinan MADANI bentuk era baharu pembangunan, ekonomi inklusif - KSN
Kepimpinan MADANI menyaksikan pembentukan era baharu pembangunan negara yang inklusif, berintegriti dan produktif, seterusnya memperkukuh prestasi ekonomi dan sosial.
Tentang Amerika, jihad, dan azan di gereja
Pelajar Malaysia di Oklahoma, Reeza Redzuan Rosnan, berkongsi pengalaman tentang pandangan seorang paderi mengenai jihad dalam Islam.