Oscar dinamakan sebagai ribut tropika pada awal pagi Sabtu dan menjelang tengah hari bertukar kepada taufan dengan kelajuan maksimum 80 mph, menurut Pusat Taufan Kebangsaan (NHC).
Taufan Oscar bergerak ke arah barat pada kelajuan 12 mph dan terletak kira-kira 160 batu di timur-tenggara Bahamas.
Kerajaan Bahamas mengeluarkan amaran taufan untuk Kepulauan Turks dan Caicos serta kawasan tenggara Bahamas.
Sementara itu, kerajaan Cuba mengeluarkan amaran berjaga-jaga untuk wilayah Guantanamo, Holguin dan Las Tunas.
Agensi itu turut menjejaki Ribut Tropika Nadine, yang terletak 20 batu di barat laut Belize City dan 65 batu di barat daya Chetumal, Mexico, setakat 2 petang waktu tempatan.
Nadine berkelajuan maksimum 50 mph dan sedang bergerak ke arah barat pada kelajuan lapan mph.
Nadine berpotensi menyebabkan banjir kilat dan mencetuskan amaran ribut di sepanjang sebahagian pantai Belize dan Semenanjung Yucatan, Mexico.
Setakat ini, 13 ribut direkodkan dengan sembilan daripadanya berkembang menjadi taufan.
Taufan Helene yang melanda pada 26 Sept, menyebabkan kemusnahan dan kematian yang meluas di sebahagian besar tenggara Amerika Syarikat manakala Milton pada 9 Okt merentasi Florida dari barat ke timur.
-- BERNAMA