NEW DELHI: Operasi mencari mencari mangsa tanah runtuh yang berlaku pada Selasa diteruskan pada Jumaat di daerah Wayanad, Kerala, India apabila angka kematian akibat bencana itu melebihi 300 orang.

Menteri Kesihatan Kerala Veena George berkata pada pagi Jumaat, bahawa bedah siasat terhadap 199 mayat telah selesai dan sampel DNA bagi 130 bahagian tubuh diambil.

Anggota tentera India yang membantu dalam kerja menyampaikan bantuan dan menyelamat menemukan empat orang yang masih hidup di satu kawasan terpencil pada Jumaat.

Ramai orang masih dilaporkan hilang sejak tanah runtuh yang disebabkan oleh hujan monsun lebat melanda kawasan berkenaan pada awal pagi Selasa.

Jurutera tentera membina jambatan Bailey sepanjang 58 meter untuk menghubungkan kawasan yang paling terjejas di Mundakkai dan Chooralmala.

Limpahan air, lumpur, dan batu menghanyutkan ratusan orang yang sedang tidur di rumah mereka dan meninggalkan jejak kemusnahan di daerah berbukit yang indah itu.

Ramai daripada yang terbunuh adalah pekerja ladang teh dan buah pelaga serta keluarga mereka .

Negeri di selatan ini cenderung kepada tanah runtuh dan banjir pada musim monsun.

Dalam satu daripada bencana alam terburuk yang melanda Kerala dalam beberapa tahun kebelakangan ini, lebih daripada 400 orang terbunuh dalam banjir pada tahun 2018.

-- BERNAMA