LOS ANGELES: Kecemasan kesihatan awam (PHE) COVID-19 Amerika Syarikat telah ditamatkan pada Khamis, menandakan peralihan besar dalam usaha negara melawan pandemik.

PHE yang diumumkan oleh Setiausaha Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS Alex Azar pada Januari 2020 bertujuan melaksanakan langkah sementara dan memperuntukkan sumber bagi membendung wabak dengan lebih baik.

Sementara itu, pentadbiran Biden juga menamatkan keperluan vaksin COVID-19 untuk pekerja persekutuan, kontraktor persekutuan dan pelancong antarabangsa pada Khamis, lapor Xinhua.

Keputusan itu dibuat susulan kadar kematian dan kemasukan ke hospital akibat COVID-19 telah menurun secara mendadak disebabkan vaksinasi, rawatan antivirus dan pendedahan meluas terhadap virus itu.

Sekurang-kurangnya 6 juta rakyatnya menerima rawatan di hospital, manakala 1.1 juta kematian direkodkan akibat COVID-19, menurut data dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS.

Pengakhiran PHE akan membawa perubahan ketara dalam cara Washigton bertindak balas terhadap virus itu.

meskipun pakar kesihatan awam bersetuju bahawa negara kini mempunyai lebih banyak alat untuk memerangi COVID-19, mereka memberi amaran bahawa virus itu akan kekal sebagai ancaman berterusan kepada sistem penjagaan kesihatan negara.

-- BERNAMA