ISLAMABAD: Taliban pada Selasa mengumumkan membuka semula perkhidmatan pengeluaran pasport selain mengupah pekerja wanita untuk mengendalikan urusan pasport membabitkan golongan itu, lapor Agensi Anadolu.

Pemangku Ketua Jabatan Pasport yang baharu dilantik, Alam Gul Haqqani dalam satu kenyataan berkata sekurang-kurangnya 25,000 pasport sudah siap untuk dikeluarkan kepada mereka yang telah memohon.

Sementara itu pengarah Komunikasi Kementerian Dalam Negeri , Saeed Khosti berkata "pasport akan dikeluarkan dengan tajuk yang sama (Republik Islam Afghanistan)."

Ratusan ribu rakyat Afghanistan melarikan diri dari negara itu selepas Taliban mengambil alih Kabul, dan ramai lagi ingin melarikan diri tetap terkandas disebabkan masalah pasport.

Langkah terbaru itu diambil selepas mesyuarat pertama Kabinet Taliban pada Isnin meluluskan pengeluaran semula pasport untuk rakyat Afghanistan.

-- BERNAMA