TORONTO: Amerika Syarikat (AS) percaya Sweden harus menjadi anggota NATO "secepat mungkin tanpa berlengah lagi," menurut Rumah Putih pada Rabu.

Bercakap pada taklimat, Jurucakap Rumah Putih Karine Jean-Pierre berkata Presiden Joe Biden "sangat jelas tentang perkara itu".

"Kami terus berkomunikasi dengan Turki, tetapi saya tidak mempunyai garis masa untuk dikongsikan.

"Kami masih berharap perkara ini dapat dilaksanakan," kata Jean-Pierre ketika ditanya sama ada Sweden mendapat 'lampu hijau'menyertai badan itu sebelum sidang kemuncak NATO bulan depan di Vilnius, Lithuania, lapor Agensi Anadolu.

Jean-Pierre berkata AS juga akan meneruskan perbincangannya dengan China untuk menyelesaikan masalah itu.

China akan terus menjadi pemain utama di pentas dunia dan akan terus "mengambil langkah provokatif," katanya dan menambah AS percaya bahawa "persaingan sengit memerlukan diplomasi yang sengit".

Jurucakap itu menyatakan bahawa ia adalah perkara yang bertanggungjawab untuk dilakukan selain menguruskan ketegangan dan menjernihkan persepsi salah terhadap China dan ia adalah demi kepentingan AS untuk mencuba dan memikirkan cara untuk bekerjasama dengan pentadbiran Beijing.

Terdahulu, Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan bercakap mengenai proses keanggotaan Sweden ke dalam NATO di dalam pesawat presiden semasa pulang dari melawat Cyprus Utara dan Azerbaijan iaitu lawatan kerja pertamanya ke luar negara selepas dipilih semula sebagai presiden.

Erdogan menyeru Stockholm untuk meningkatkan jumlah pasukan polis bagi menghalang pengganas PKK daripada beroperasi di Sweden.

-- BERNAMA